TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Beratus juta ringgit belanja naik taraf, Anthony Loke malu aksi 'mat rempit' depan lapangan terbang di Kelantan

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 6 April - Tindakan sekumpulan ‘mat rempit’ melakukan aksi berbahaya di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di Kota Bharu disifatkan sebagai memalukan dan tidak bertanggungjawab.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiden itu amat dikesali memandangkan kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang berkenaan.

Menurut beliau, pelaburan tersebut bertujuan meningkatkan kemudahan perjalanan udara selain menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi rakyat di Kelantan serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

“Kelakuan golongan mat rempit ini di depan balai pelepasan terminal baharu bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Susulan kejadian itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan berkenaan.

Tegasnya, mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti merempit di hadapan lapangan terbang akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal serta-merta.

Dalam masa sama, beliau turut meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperketatkan kawalan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu, media melaporkan balai pelepasan di terminal baharu LTSIP yang kurang sebulan beroperasi sepenuhnya telah disalahgunakan sebagai litar lumba oleh kumpulan mat rempit.

Aktiviti tersebut dipercayai berlaku sejak Ramadan lalu dan kembali tular pada Jumaat malam selepas dirakam serta dikongsikan oleh pengguna lapangan terbang di media sosial.

+ - reset