TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemegang lesen Madani Mart akan bayar royalti kepada Yayasan diasaskan Fuziah, pembantu Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 April - Skim pelesenan Madani Mart yang diperkenalkan memerlukan pengusaha membayar yuran lesen dan royalti kepada Yayasan Madani, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan ketelusan serta tadbir urus pelaksanaannya.

Menurut laporan Malaysiakini, Yayasan berkenaan diasaskan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh yang juga pengerusi, bersama pembantu kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim iaitu Kamil Abdul Munim dan Ahmad Farhan Fauzi, yang merupakan pemegang amanah tunggal yayasan tersebut.

Berdasarkan dokumen Soalan Lazim (FAQ), bayaran lesen dan royalti itu adalah sebagai balasan kepada perkhidmatan disediakan Yayasan Madani termasuk latihan, sokongan operasi, pemantauan prestasi, pengurusan sistem serta pembangunan rantaian bekalan kepada pemegang lesen.

Bagaimanapun, jumlah bayaran yang dikenakan tidak didedahkan setakat ini, manakala penyata kewangan yayasan yang ditubuhkan pada Mac 2024 itu juga belum diumumkan kepada umum.

Ketika dihubungi, Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) memaklumkan pihak yayasan akan mengeluarkan kenyataan bagi menjawab persoalan berkaitan yuran serta isu lain.

Dalam perkembangan sama, usaha mendapatkan maklum balas daripada Fuziah turut dilakukan.

Madani Mart menyasarkan pembukaan 640 cawangan di seluruh negara yang menjual barangan pada harga “rahmah”, dengan cawangan pertama dilancarkan oleh Anwar di Kuantan, yang juga bekas kawasan Parlimen Fuziah.

Fuziah sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada dana kerajaan digunakan dalam pelaksanaan inisiatif tersebut, sebaliknya ia melibatkan kerjasama strategik antara kementerian, pemegang lesen dan Yayasan Madani.

Menurut yayasan itu, rangkaian kedai berkenaan turut menyokong inisiatif awam termasuk program Jualan Rahmah kerajaan.

FAQ turut menjelaskan bahawa pemegang lesen perlu menyediakan 100 peratus modal bagi membuka cawangan, manakala Yayasan Madani akan menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus inventori wajib bagi memastikan keseragaman barangan di semua premis.

Barangan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula, mi segera, kopi, roti, makanan dalam tin, telur, minuman, produk sejuk beku serta barangan keperluan harian lain akan dibekalkan melalui pusat pengedaran bagi memastikan harga kekal stabil.

Pengendali bagaimanapun dibenarkan memilih pembekal sendiri bagi barangan lain.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut, khususnya berkaitan potensi konflik kepentingan melibatkan kementerian yang turut mengendalikan program Jualan Rahmah.

"Jualan Rahmah ini melibatkan peruntukan beratus-ratus juta ringgit setahun, pembekal-pembekal berebut-rebut untuk menjadi pembekal untuk Jualan Rahmah kerana bila dia jual kepada kerajaan, dia dapat harga biasa, mungkin harga yang lebih tinggi pun.

“Tapi bila dijual kepada orang ramai tu, setiap satu kilogram (misalnya) itu kemudian diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Jadi bila Madani Mart ini diusahakan oleh timbalan menteri KPDN (Fuziah) yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” tegasnya.

+ - reset