Berita Berita
Rafizi nafi dakwaan terlibat rasuah RM500,000
KUALA LUMPUR 7 April - Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menafikan dakwaan terlibat dalam skandal rasuah bernilai RM500,000 seperti yang tular menerusi sebuah laporan dalam talian hari ini.
Dakwaan berkenaan yang diterbitkan oleh laman web dikenali sebagai Malaysia Corporate turut dinafikan oleh pihak yang didakwa menjadi proksi, serta syarikat NexG Bhd (NexG).
Laporan itu mendakwa syarikat Datasonic Group Bhd, yang kini dikenali sebagai NexG, cuba melobi Putrajaya untuk melanjutkan kontrak sedia ada berkaitan pasport dan MyKad, yang merupakan antara kontrak utama kerajaan.
Menurut laporan itu, seorang eksekutif NexG didakwa meminta sokongan Rafizi bagi meyakinkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk meluluskan lanjutan tersebut, malah didakwa “mengancam” kerajaan dalam usaha berkenaan.
Bagaimanapun, untuk rekod, kontrak melibatkan pengeluaran pasport dan MyKad terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, bukannya Kementerian Ekonomi.
Laporan itu turut mendakwa sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan sokongan Rafizi, eksekutif NexG bertemu dengan ahli perniagaan, Harizan Haris, yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas menteri itu.
Selain itu, kedua-dua individu berkenaan juga didakwa bertemu seorang pegawai di Kementerian Ekonomi ketika itu, namun pihak kementerian masih belum mengeluarkan sebarang komen rasmi.
Menurut laporan tersebut, pada Ogos 2023, Harizan didakwa mengeluarkan invois kepada NexG bagi projek yang tidak wujud sebagai alasan untuk memindahkan RM200,000 dalam dua transaksi kepada Rafizi melalui ahli perniagaan itu.
Artikel sama turut mendakwa sejumlah RM300,000 lagi diberikan secara tunai kepada Harizan untuk diserahkan kepada Rafizi, selain mendakwa Rafizi meminta dana bagi pemilihan PKR yang berlangsung pada 2025.
Perkembangan itu cuba dikaitkan dengan penganugerahan projek mesin layan diri di bawah Kementerian Ekonomi kepada NexG bagi program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), walaupun projek tersebut dilaporkan dilaksanakan melalui tender terbuka pada 2024 dengan penglibatan beberapa vendor.
Laporan itu juga mendakwa eksekutif syarikat terbabit menyalurkan RM40 juta kepada Rafizi daripada hasil pengambilalihan korporat firma lain.
Menjawab dakwaan tersebut menerusi catatan media sosial hari ini, Rafizi melabelkan laman web yang menerbitkan laporan itu sebagai “blog hantu” dan menegaskan bahawa “gaya naratif” digunakan bertujuan mencemarkan reputasinya.
Mendakwa tidak pernah bertemu Harizan, beliau berkata kali pertama mendengar nama ahli perniagaan itu adalah pada 2 Disember tahun lalu ketika pertemuan dengan seorang menteri PKR.
"Dalam pertemuan itu, beliau (menteri terbabit) memberi bayangan saya ada kes rasuah yang jika keluar akan malu besar.
"Saya tanya dia, kes yang mana atau apa buktinya? Cerita inilah yang disebut, lalu ditunjukkan kononnya invois bayaran daripada NexG kepada saya.
"Saya cakap: 'Mana ada orang bagi rasuah keluarkan resit? Itu tak cerdik namanya.'"
Rafizi berkata invois yang ditunjukkan kepadanya mencatatkan pembayaran RM500,000 daripada Harizan dan syarikat berkaitan, namun beliau menegaskan tidak mengenali individu tersebut.
"Saya tak pernah kenal mereka ini.
"Besar kemungkinan, ini cerita biasa dari Putrajaya - ada ahli perniagaan cuba cari jalan, ada scammer yang mengaku macam-macam.
"Apabila ada yang mengkritik macam saya, watak-watak ini dibawa bersama untuk mencipta satu fitnah," katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai sejarah parti itu yang pernah berdepan fitnah, sambil memberi amaran agar perkara sama tidak berulang.
"Jangan sekarang, fitnah yang keterlaluan kerana terdesak menyebabkan rakyat menolak PKR dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Rafizi memaklumkan akan menjawab dakwaan tersebut dengan lebih terperinci dalam audio siar seterusnya pada Jumaat ini.
Sementara itu, ketika dihubungi, Harizan menegaskan bahawa beliau tidak pernah bertemu Rafizi dan tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan NexG.
"Saya sendiri bukanlah seorang pengarah yang kaya-raya mahupun aktif dalam bab-bab begini, dan saya sudi memberi kerjasama penuh (kepada sebarang kemungkinan siasatan) sebab saya memang tak terlibat langsung," katanya.
Berita berkaitan
April 7, 2026, 7:47 pm
Lelaki ditetak hingga maut di Buntong, polis sahkan tiada unsur perkauman
April 7, 2026, 4:24 pm
Ibu tunggal didakwa hantar komunikasi jelik hina Sultan dan dakwa jadi guru Agong
April 7, 2026, 4:20 pm
FAS cadang muka baharu terajui FAM, Shahril Mokhtar sifatkan masa terbaik pulihkan imej
April 7, 2026, 4:14 pm
Lelaki maut ditetak kumpulan bersenjata parang di Buntong
April 7, 2026, 4:10 pm
Dera anak kucing di dobi, penganggur menangis kena penjara 6 bulan
April 7, 2026, 3:29 pm
