TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Minyak kita tak lalu Selat Hormuz' - Pemimpin PAS pertahan kenyataan Abdul Hadi, persoal kenaikan harga minyak

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 April – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Azman Ibrahim mempertahankan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung kenaikan harga minyak yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

Azman yang juga Exco Pertanian Terengganu berkata Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri, sekali gus mempersoalkan kebergantungan kepada faktor luar dalam penentuan harga bahan api.

Menurutnya, di perairan Terengganu sahaja terdapat kira-kira 120 pelantar minyak beroperasi, dengan minyak mentah disalurkan ke Loji Penapisan Minyak Petronas Kerteh melalui paip dasar laut atau kapal tangki untuk diproses.

“Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang, minyak kita tidak melalui Selat Hormuz,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Abdul Hadi turut mempersoalkan kenaikan harga minyak di Semenanjung dengan menegaskan Malaysia tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di laluan strategik tersebut.

Isu berkenaan timbul ketika harga minyak global terus dipengaruhi ketegangan geopolitik di Timur Tengah, khususnya melibatkan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia.

Bagaimanapun, pakar ekonomi sebelum ini menjelaskan harga runcit bahan api di Malaysia masih berkait rapat dengan pasaran global melalui mekanisme apungan terkawal, meskipun negara mempunyai pengeluaran minyak sendiri.

+ - reset