TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan pegawai berpangkat DSP ditahan disyaki dalang kes samun RM4.4 juta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang pegawainya berpangkat Deputi Superintenden (DSP) ditahan kerana dipercayai menjadi dalang beberapa siri samun bersenjata bernilai RM4.4 juta di sekitar Kepong, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, suspek yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu telah digantung tugas sejak 23 Januari lalu.

Menurutnya, pegawai berkenaan dipercayai memainkan peranan utama dalam merancang dan menyelaras operasi kumpulan terbabit.

Dalam operasi sama, enam lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 51 tahun, termasuk dua pengawal peribadi, turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kumpulan itu dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebelum memecah masuk kediaman dua warga China dan seorang wanita Indonesia antara jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi.

Seorang suspek turut mengacu objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

Antara yang dilarikan ialah tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, selain peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing USD1,200, barang kemas serta dua jongkong emas.

Fadil berkata, dua pengawal peribadi terbabit turut dikesan menyalahgunakan senjata api berlesen ketika melakukan jenayah tersebut.

Beliau menegaskan polis akan mengambil tindakan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Kesemua suspek direman tujuh hari hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 170 Kanun Keseksaan.

+ - reset