TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hannah Yeoh cadang orang ramai masuk KL lebih awal kurangkan sesak waktu puncak

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 April – Inisiatif ‘Bangun KL: Ke Arah Kuala Lumpur Yang Lebih Sejahtera’ diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai memasuki ibu kota lebih awal sekali gus mengurangkan kesesakan trafik waktu puncak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, program itu menekankan perubahan tingkah laku melalui insentif serta kerjasama pelbagai pihak.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan mengagihkan semula aliran trafik supaya tidak tertumpu pada waktu sama setiap pagi.

“Bangun KL bukan sekadar slogan, tetapi usaha mengubah cara bandar ini bergerak setiap hari,” katanya pada majlis pelancaran di sini, Khamis.

Melalui kerjasama dengan Zus Coffee, sebanyak 250 cawangan di Kuala Lumpur dan Putrajaya menawarkan minuman pada harga diskaun kepada pelanggan yang tiba awal antara jam 7 pagi hingga 8 pagi menerusi aplikasi mudah alih.

Hannah berkata, kira-kira 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi dan pengalihan sekurang-kurangnya 10 peratus ke waktu lebih awal mampu memberi kesan besar kepada kelancaran trafik.

Menurutnya, inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota.

Beliau menambah, dalam tempoh 100 hari pertama di Wilayah Persekutuan, fokus turut diberikan kepada tadbir urus, akses komuniti, ruang hijau serta kerjasama dengan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Katanya, kerajaan juga bersedia memperluaskan konsep insentif itu ke sektor lain termasuk meneroka model harga berbeza mengikut waktu bagi menggalakkan pergerakan lebih fleksibel.

Pendekatan itu dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan lebih menyeluruh dalam pengurusan bandar ke arah Kuala Lumpur yang lebih efisien dan sejahtera.

+ - reset