TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita sarat hamil, ibu mengaku tidak bersalah aniaya budak 3 tahun hingga cedera di paha, kemaluan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 April – Seorang wanita sarat hamil sembilan bulan bersama ibunya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sehingga cedera pada bahagian paha dan kemaluan.

Tertuduh, A Saranya, 28, dan R Saroja, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita itu didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa telah menganiaya kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pudu Impian antara Februari hingga 3 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ravendejit Kaur tidak menawarkan jaminan, namun mencadangkan RM30,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah membenarkannya.

Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh pertama sedang hamil sembilan bulan dan dijangka bersalin pada 20 April, manakala tertuduh kedua pula tidak bekerja serta menghidap darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh serta keluarga mereka tidak mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Mei depan bagi serahan dokumen.

+ - reset