TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UM mohon maaf, sahkan adegan tidak senonoh dalam teater tiada dalam skrip asal

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 April — Universiti Malaya (UM) mengesahkan adegan sebuah persembahan teater yang tular di media sosial tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan sempena pertandingan Karnival Teater (KARVITER) di universiti itu.

Menurut kenyataan UM, persembahan berkenaan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.

Universiti itu memaklumkan, pihaknya memandang serius serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan dalam kalangan masyarakat berhubung insiden berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan syarat umum dan peraturan pertandingan KARVITER, setiap persembahan hendaklah bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.

“Sehubungan itu, Universiti Malaya dengan ini memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul.

“Universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Tegasnya lagi, persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung sebelum ini mempersoalkan kewajaran babak sentuh menyentuh dan adegan di ranjang dalam teater yang dipersembahkan di sebuah universiti tempatan.

Dakwanya, beliau mempunyai rakaman video kejadian tersebut namun tidak sanggup untuk dikongsikan di media sosial.

“Sangat memalukan untuk saya kongsikan adegan itu yang disertai jeritan penonton.

“Adakah kita sedang melahirkan generasi yang memegang berpendidikan tinggi tetapi akhlaknya rendah?,” soal beliau.

+ - reset