TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mekanik parah ditetak: Suspek positif dadah, ada 13 rekod lampau ditahan

By
|
Kongsi
image

BUTTERWORTH 15 April – Seorang mekanik berusia 30 tahun dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang dan ditetak menggunakan sebilah parang oleh seorang lelaki yang dikenalinya dalam satu kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Besar, Telok Ayer Tawar, Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail memaklumkan bahawa mangsa kini masih menerima rawatan intensif di Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat luka parah di beberapa anggota badan.

Antara kecederaan yang dialami mangsa termasuklah luka di bahagian belakang badan, putus jari telunjuk kanan, manakala jari tengah kanan serta pergelangan tangan kirinya dilaporkan hampir putus selain menerima lima jahitan di kepala.

Susulan laporan yang diterima pada jam 9.16 malam hari kejadian, pihak polis berjaya menahan suspek yang berusia 47 tahun di sekitar Butterworth semalam.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan rekod jenayah pula mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan 11 rekod berkaitan dadah.

"Siasatan awal mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam keseluruhan insiden serangan tersebut di lokasi kejadian," kata Azizee dalam satu kenyataan media, hari ini.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 21 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

+ - reset