TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PN mula susun langkah tawan Putrajaya pada PRU16 melalui pertemuan Muhyiddin-Hadi

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

PETALING JAYA 15 April – Perikatan Nasional (PN) memberikan isyarat jelas untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan pertemuan penting antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Terengganu.

Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan pertemuan tersebut sebagai langkah strategik untuk memperkukuh gabungan PN serta menamatkan spekulasi keretakan hubungan antara kedua-dua parti teras itu.

Menurut Razali, perbincangan selama lebih sejam itu berlangsung dalam suasana harmoni dengan fokus utama untuk memantapkan jentera pilihan raya lebih awal tanpa perlu menunggu saat akhir.

“Isyaratnya jelas, PN tidak lagi sekadar bersembang tetapi menyusun langkah ke depan untuk menawan Putrajaya pada PRU16,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Pertemuan ini dilihat amat signifikan memandangkan hubungan antara PAS dan Bersatu dilaporkan sedikit tegang sebelum ini berikutan kemelut politik di Perlis serta perbezaan pandangan mengenai pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu.

Isu pelantikan Ketua Pembangkang menjadi tumpuan selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan bukan lagi penyandang jawatan tersebut. Pengerusi PN yang baharu dilantik, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum ini memaklumkan bahawa jawatan tersebut akan diisi oleh wakil daripada PAS.

Abdul Hadi Awang menyatakan keputusan mengenai pelantikan itu akan dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini. Walau bagaimanapun, Muhyiddin menggesa agar pelantikan dibuat dengan segera bagi mengelakkan spekulasi berterusan yang boleh menjejaskan imej gabungan pembangkang tersebut.

Razali menegaskan bahawa pertemuan di Rusila itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu pelan gerak kerja yang lebih besar bagi memastikan PN berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya dalam masa terdekat.

+ - reset