TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita warga emas di Miri rugi RM1.17 juta akibat sindiket 'Love Scam'

By
|
Kongsi
image

MIRI 16 April – Seorang wanita warga emas berusia 64 tahun terpaksa menanggung kerugian besar berjumlah RM1,173,700 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cinta atau love scam melalui media sosial.

Mangsa yang merupakan seorang pesara swasta dilaporkan mula mengenali suspek menerusi aplikasi TikTok sebelum hubungan mereka menjadi lebih akrab dan berpindah ke aplikasi WhatsApp. Suspek yang menyamar sebagai warga asing menggunakan identiti palsu termasuk gambar dan dokumen bagi meraih kepercayaan mangsa.

Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memujuk mangsa menggunakan kata-kata manis dan berjanji untuk menjalin hubungan serius. Suspek kemudian mendakwa dirinya terlibat dalam projek cari gali yang menghadapi masalah kewangan serta mendakwa akaun banknya telah dibekukan.

Percaya dengan alasan tersebut, mangsa telah melakukan sebanyak 59 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun pihak ketiga yang berbeza dalam tempoh tertentu sehingga mencecah jumlah keseluruhan RM1.17 juta.

Penipuan tersebut hanya disedari oleh mangsa selepas beliau berbincang dengan ahli keluarganya yang curiga dengan situasi tersebut sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga sepuluh tahun, sebatan serta denda.

Pihak polis sekali lagi mengingatkan orang ramai, terutamanya warga emas, agar sentiasa berwaspada dengan kenalan di media sosial dan tidak sesekali melakukan pindahan wang kepada individu yang tidak pernah ditemui secara bersemuka bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

+ - reset