TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KiplePay, Rural Capital jalin kerjasama strategik bangunkan ekosistem kewangan digital

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 April – KiplePay Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rural Capital Berhad bagi menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan ekosistem kewangan digital yang berskala dan bersepadu.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian dompet digital berjenama putih (white-label) dan infrastruktur kewangan digital yang menyokong keperluan pelbagai segmen pengguna serta rakan ekosistem.

MoU tersebut mewujudkan rangka kerja rasmi bagi membolehkan kedua-dua organisasi memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam mereka bentuk, membangun dan melaksanakan penyelesaian kewangan digital yang lebih efisien dan berskala.

Antara skop utama kerjasama termasuk pembangunan dompet digital tersuai, penubuhan sistem kutipan pembayaran berpusat serta penggunaan analitik data berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pemantauan prestasi dan penjanaan cerapan perniagaan.

Selain itu, inisiatif berkenaan turut merangkumi integrasi pelbagai ciri platform seperti identiti digital, modul aplikasi, sistem pembayaran dan agihan, fungsi derma, program kesetiaan, e-invois serta alat komunikasi.

Kerjasama tersebut juga melibatkan peluasan perkhidmatan kewangan digital termasuk penyelesaian berkaitan pembiayaan, inovasi pembayaran dan peningkatan penglibatan pengguna.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet Berhad, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, kerjasama ini mencerminkan tumpuan berterusan pihaknya dalam membangunkan infrastruktur kewangan digital yang berskala, praktikal dan mampu menyokong keperluan sebenar.

"Melalui kerjasama dengan RCB, kami berhasrat menyediakan penyelesaian yang meningkatkan kecekapan, memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan serta mencipta nilai bermakna dalam keseluruhan ekosistem," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad, Hiruddin Hashim berkata kerjasama itu adalah langkah penting dalam memperkukuh keupayaan digital kami serta mempertingkat model penyampaian perkhidmatan.

"Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat membina ekosistem kewangan yang lebih cekap, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan," katanya  

MoU berkenaan turut menyediakan rangka kerja tersusun bagi kedua-dua pihak melaksanakan projek secara berperingkat termasuk pembangunan perjanjian muktamad melibatkan aspek komersial dan pelaksanaan.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik ke arah membina ekosistem kewangan digital yang lebih bersepadu, dipacu data serta berskala, sejajar dengan keperluan perniagaan dan pengguna yang semakin berkembang di Malaysia. - Media Telus

+ - reset