TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengamal media mohon kuota Ron95 dikekalkan 300 liter sebulan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID


PUTRAJAYA, 17 April – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian kuota khas petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan kepada pengamal media, berbanding kuota semasa 200 liter di bawah inisiatif BUDI RON95.

Dalam satu kenyataan media hari ini, GKMM memaklumkan pihaknya memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan.

Namun penetapan kuota lebih rendah memberi kesan langsung kepada kelancaran tugas wartawan, jurugambar dan juruvideo di lapangan.

Menurut kenyataan itu, walaupun kerajaan meneruskan subsidi bersasar termasuk bantuan melalui BUDI RON95 serta inisiatif lain seperti BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu, langkah tersebut masih dilihat belum mencukupi oleh pengamal media seluruh negara.

Realiti tugas pengamal media yang memerlukan pergerakan tinggi menyebabkan kuota 200 liter yang diperuntukkan cepat habis sebelum akhir bulan.

GKMM turut memaklumkan pihaknya menerima pelbagai keluhan daripada pengamal media di seluruh negara.

“Pengamal media khususnya di negeri-negeri yang perlu menempuh perjalanan jauh dan berulang alik ke lokasi liputan setiap hari, menyebabkan kuota yang diterima tidak mencukupi,” jelas kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, organisasi berkenaan mencadangkan agar kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk terus menikmati kuota 300 liter petrol RON95 seperti sebelum ini.

Langkah tersebut, menurut GKMM, bukan sahaja dapat meringankan beban kos, malah memastikan tugasan liputan berita dapat dijalankan dengan lebih efisien tanpa gangguan kekangan logistik.

Kenyataan bersama itu disokong oleh pelbagai kelab media negeri termasuk Kelab Media Johor, Kelab Media Putrajaya, Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor, serta beberapa persatuan wartawan lain di seluruh negara.

+ - reset