TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tidak lindungi anggota salah guna kuasa, siasat kes viral di Kulim secara telus

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 23 April – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang didapati bersalah melakukan salah laku dalam insiden penangkapan tular di Kulim, Kedah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan secara telus merangkumi dua aspek iaitu siasatan jenayah di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan serta siasatan tatatertib secara dalaman.

Beliau menjelaskan bahawa PDRM sememangnya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas mengenai penggunaan kekerasan, di mana anggota dibenarkan menggunakan kekerasan minimum dan munasabah sekiranya suspek bertindak agresif atau melawan ketika ditahan.

"Sebenarnya SOP untuk tangkapan memang sudah ada, bukannya tiada. Kekerasan minimum boleh digunakan jika suspek melawan, tetapi ia mestilah minimum dan munasabah mengikut situasi," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai video berdurasi 29 saat yang memaparkan seorang anggota meletakkan kaki di atas kepala suspek, Ayob Khan berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengambil kira tindakan suspek serta ancaman terhadap keselamatan anggota di lapangan sebelum sebarang penemuan diumumkan.

"Kami tidak akan melindungi sebarang salah laku dalam pasukan, sama ada melibatkan pegawai mahupun anggota. Biar siasatan diselesaikan terlebih dahulu dan sebarang tindakan lanjut akan dimaklumkan kemudian," tegas beliau.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan telah mengarahkan Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan terhadap insiden tersebut yang berlaku semasa rondaan pencegahan jenayah di Jalan Sungai Ular, Kulim.

+ - reset