Berita Berita
Ada 178 kes babit rumah ibadat bukan Islam, Selangor guna pendekatan 'win-win' selesai isu kuil tanpa kebenaran
SHAH ALAM 23 April – Kerajaan Selangor mengambil pendekatan diplomasi dengan mengadakan perjumpaan serta perbincangan bersama pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian ‘menang-menang’ berhubung isu kuil tanpa kebenaran di negeri ini.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu berkata ketika ini terdapat 178 kes berkaitan Rumah Ibadat Bukan Islam yang diterima pihaknya dan kesemua kes tersebut akan diselesaikan secara berhemah.
Katanya, kerajaan negeri turut memperkenalkan garis panduan baharu bagi menangani isu berkenaan mengikut perkembangan semasa.
"Bagaimanapun, penyelesaian penggantian tapak secara satu ke satu (one to one) tidak boleh dilaksanakan kerana jumlah guna tanah yang terhad di negeri ini.
"Hendak dapatkan gantian tanah itu memang tak ada, di Selangor untuk memindahkan pondok penyembahan dan kuil itu memang tidak ada. Hendak gantikan satu ke satu, memang tak ada..itu tak akan berlaku.
"Tetapi saya juga ada cadangan untuk memberikan kuil terlibat untuk menyediakan kuil yang besar dengan beradaptasi (dengan penempatan sekitar) dan mengurangkan isu itu," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hilman Idham (PN-Gombak Setia) berhubung langkah proaktif kerajaan negeri bagi mengelakkan pembinaan kuil tanpa kebenaran pada masa hadapan.
Terdahulu, Dr Gunarajah George (PH-Sentosa) turut meminta penjelasan mengenai jumlah lebih 600 kuil tanpa kebenaran sama ada ia merupakan kuil sebenar atau sekadar pondok penyembahan.
Papparaidu yang juga ADUN Banting berkata, keharmonian antara kaum di Selangor perlu terus dipelihara tanpa menimbulkan ketegangan, dengan mengambil kira amalan dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum.
"Di negara kita, fokus kepada Selangor, kita sebuah negeri yang majmuk. Dahulu kita sambut Thaipusam, kita jam satu Selangor dan Batu Cave, tak ada isu. Juga bagi kawan-kawan kita yang Melayu dan beragama Islam, hendak pergi solat Jumaat, kadang-kadang jalan di depan (masjid) sesak, tak ada masalah.
"Begitu juga dengan kawan-kawan Tionghua, ada penyembahan kecil kadang-kadang di padang dan sebagainya, tak ada masalah. Mungkin, kesemuanya melanggar akta atau undang-undang sedia ada, tetapi kita ada fleksibel, sebab itu kita digeruni oleh semua pihak di luar sana, Selangor agak berbeza. Malaysia juga secara amnya," katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan dan mendapat kelulusan sah pihak berkuasa serta mengikut perundangan dan garis panduan ditetapkan.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama demi memastikan keharmonian terpelihara.
Difahamkan, terdapat 687 kuil Hindu dibina tanpa kebenaran di Selangor setakat 31 Januari lalu, melibatkan 388 di atas tanah kerajaan dan 299 di atas tanah persendirian.
Berita berkaitan
April 23, 2026, 8:34 pm
Teksi EV dengan sistem penukaran bateri diperkenal tangani krisis bahan api
April 23, 2026, 5:29 pm
KKM sahkan Unit Perubatan Nuklear PPUM selamat, tiada bukti kluster kanser
April 23, 2026, 5:25 pm
KUSKOP gubal RUU baharu perkasa integriti, urus tadbir gerakan koperasi
April 23, 2026, 5:16 pm
Mindef tidak kompromi pegawai tentera pandu mabuk, serah siasatan kepada polis
April 23, 2026, 2:09 pm
Polis siasat dakwaan anak Ako Mustapha jadi mangsa buli di sekolah
April 23, 2026, 2:06 pm
Ahmad Fadhli sindir pihak perlekeh 'tin milo' tapi mewah hasil sakau duit zakat
April 23, 2026, 2:00 pm
Pinjaman peribadi punca utama 31,517 kes bankrap direkodkan sejak 2021
April 23, 2026, 1:55 pm
