TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Teksi EV dengan sistem penukaran bateri diperkenal tangani krisis bahan api

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 April - Industri pengangkutan awam negara bakal menyaksikan satu transformasi besar apabila empat syarikat utama menjalin kerjasama strategik untuk memperkenalkan teksi kenderaan elektrik (EV) yang dilengkapi sistem penukaran bateri automatik.

Inisiatif di bawah program Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) ini dimeterai menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan Hamizi M. Hussin daripada EV Auto Works Sdn. Bhd., Derick Ng daripada Voltgem Energies Sdn. Bhd., Kabeer Maand mewakili GV Car Import Sdn. Bhd., serta Mugilarasan daripada Alirantek (M) Sdn. Bhd.

Turut terlibat ialah Kamarudin Mohd Hussain yang mewakili Gabungan Teksi Malaysia dalam usaha memperkukuh hala tuju industri teksi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GV Ride, Kabeer Maand berkata, kerjasama tersebut bertujuan mempercepatkan peralihan industri teksi dan e-hailing ke arah penggunaan EV berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Menurut beliau, penggunaan sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan oleh Voltgem Energies Sdn. Bhd. merupakan antara inovasi utama yang mampu mengubah landskap operasi pengangkutan awam.

“Teknologi ini membolehkan bateri ditukar dalam tempoh yang singkat di stesen khas tanpa perlu menunggu proses pengecasan, sekali gus hampir menghapuskan masa henti operasi kenderaan.

“Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah membantu pemandu menjana pendapatan yang lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan,” katanya.

Kabeer berkata, inisiatif tersebut turut dirangka sebagai solusi jangka panjang dalam menangani peningkatan kos bahan api yang semakin membebankan pemain industri.

Selain itu, pakej komprehensif turut ditawarkan kepada pemandu, termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, sewaan kenderaan serendah RM80 sehari, serta penyelenggaraan penuh termasuk komponen "wear and tear".

“Pemandu juga akan menikmati jaminan bateri sepenuhnya, perlindungan insurans, serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional, dengan penekanan terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama tersebut turut merangkumi pembangunan projek pemasangan tempatan EV secara Completely Knocked Down (CKD), yang akan memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan EV dengan teknologi penukaran bateri di Malaysia.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem industri EV tempatan.

“Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab pembangunan teknologi EV berasaskan sistem penukaran bateri di peringkat ASEAN,” katanya.

Menurut Kabeer, langkah tersebut dijangka memberikan impak jangka panjang termasuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti elektrik nasional, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar dan mesra alam.

Kabeer berkata pihaknya berharap dapat sokongan penuh dari pihak kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pengangkutan dan lain lain yang terlibat.

+ - reset