TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai tentera disyaki mabuk memandu lawan arus rempuh kenderaan e-hailing, penumpang warga asing maut di Lebuhraya MEX

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 April – Seorang pegawai tentera disyaki berada di bawah pengaruh alkohol bertindak memandu melawan arus sebelum merempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 1.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), awal pagi Khamis, yang mengorbankan seorang lelaki warga Bangladesh.

Kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang digunakan sebagai e-hailing dan sebuah kereta jenis Ford Fiesta.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV berkenaan.

Menurutnya, MPV itu dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun yang ketika kejadian sedang bergerak lurus di lorong kiri.

"MPV e-hailing tersebut membawa dua penumpang warga Bangladesh iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Akibat pelanggaran itu, penumpang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa ketika itu duduk di bahagian tempat duduk barisan tengah.

"Penumpang wanita warga Bangladesh pula mengalami kecederaan pada anggota badan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

"Pemandu MPV turut cedera di bahagian kepala manakala pemandu Ford Fiesta hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun yang berada dalam Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif," katanya.

Beliau berkata, pemandu terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

+ - reset