TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mindef tidak kompromi pegawai tentera pandu mabuk, serah siasatan kepada polis

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 April – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan telus berhubung kes kemalangan maut membabitkan seorang pegawai tentera di Kilometer 1.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), awal pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membuat sebarang kesimpulan awal atau melindungi mana-mana individu walaupun suspek merupakan anggota perkhidmatan tentera.

"Biarlah polis lakukan siasatan. Saya tidak dapat menentukan apa-apa buat masa ini. Walaupun ia melibatkan anggota tentera, kita beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza e-hailing yang membawa dua penumpang warga Bangladesh.

Nahas tersebut mengakibatkan seorang penumpang lelaki warga asing berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu e-hailing dan dua lagi penumpang wanita mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan awal pihak polis mendapati ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta tersebut menunjukkan bacaan melebihi had yang dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.

Suspek kini telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian. Pihak polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee.

+ - reset