TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KUSKOP gubal RUU baharu perkasa integriti, urus tadbir gerakan koperasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 April – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini dalam proses menggubal satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi memperkukuh urus tadbir serta memantapkan integriti dalam kalangan gerakan koperasi di seluruh negara.

Menterinya, Steven Sim berkata, perincian RUU berkenaan kini berada di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC) dan disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen dalam tempoh tahun ini bagi memastikan sektor tersebut lebih dinamik dan efisien.

Beliau menjelaskan bahawa antara cadangan utama yang dibangkitkan termasuklah mewajibkan ahli lembaga pengarah koperasi menghadiri kursus-kursus khas berkaitan pemantapan tata kelola, ketelusan dan nilai integriti bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa.

"Tujuannya adalah untuk melihat kepada pentadbiran yang lebih baik, lebih dinamik dan lebih cekap untuk gerakan koperasi Malaysia. Saya juga mencadangkan pemimpin gerakan koperasi mengikuti kursus-kursus tertentu dari segi urus tadbir dan integriti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di sini, hari ini.

Langkah tersebut diambil sebagai maklum balas terhadap kebimbangan mengenai isu rasuah dan ketirisan dalam sektor koperasi, memandangkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mendedahkan sebanyak 356 kertas siasatan telah dibuka membabitkan sektor itu sejak lima tahun lalu.

Steven Sim menegaskan bahawa rombakan undang-undang dan pengenalan modul latihan kepimpinan ini amat kritikal bagi memberi isyarat jelas bahawa kerajaan serius dalam memerangi penyelewengan dana asnaf mahupun ahli, sekali gus melindungi kepentingan gerakan koperasi Malaysia secara keseluruhan.

+ - reset