TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan komited pastikan kanak-kanak pelarian dan pemohon suaka dapat akses pendidikan - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 April - Kerajaan terus memperkukuh komitmen dalam memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada arus pendidikan apabila akses inklusif diperluas kepada semua golongan termasuk pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan adalah hak untuk semua tanpa mengira latar belakang dan pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sentiasa memberikan panduan untuk menguruskan pendidikan kanak-kanak yang tercicir ini.

"Begitu juga dengan di pihak Kementerian Pendidikan (KPM) kita akan berikan sokongan kepada sekolah-sekolah berkaitan dalam memberikan pendidikan kepada kanak-kanak ini.

"Bagaimanapun, isu ini adalah inisiatif semua pihak dan bukannya kepada KPM semata-mata. Diharapkan kita dapat memberi ruang kepada kanak-kanak ini melalui semua agensi untuk melihat permasalahan ini secara khusus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Fadhlina turut melancarkan papan pemuka Peta Malaysia Membaca serta menyertai Program Jom Membaca selama 10 minit.

Sebelum ini, laporan media menyatakan dianggarkan lebih 58,000 kanak-kanak pelarian dan pemohon suaka di negara ini berdepan masa depan suram apabila tidak mendapat akses kepada sistem pendidikan formal.

Angka itu merangkumi 29 peratus daripada keseluruhan 200,260 pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian setakat Mei 2025.

Pensyarah Kanan Undang-undang Universiti Malaya, Dr Farah Nini Dusuki, berkata situasi ini sangat membimbangkan kerana golongan bawah umur ini memerlukan akses pendidikan bagi menjamin kelangsungan hidup dan pembangunan modal insan.

Katanya, data menunjukkan daripada 34 peratus kanak-kanak pelarian yang berdaftar di Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC), sebanyak dua pertiga daripadanya masih tiada akses kepada sebarang bentuk pendidikan formal.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas berkenaan kebakaran di Kampung Bahagia di Sandakan, Fadhlina berkata selain bantuan kewangan RM300 yang sudah dikreditkan dalam akaun sekolah, KPM kini sedang meneliti dari masa ke semasa bantuan lain yang boleh disalurkan bagi membantu mangsa terjejas.

Fadhlina berkata, buat masa ini pihaknya akan memastikan pelajar terjejas untuk pergi ke sekolah meskipun tanpa uniform.

"Kita juga akan lihat jika ada keperluan untuk menyediakan pengangkutan untuk ke sekolah, kerana jarak pusat pemindahan sementara (PPS) ke sekolah agak jauh.

"Jadi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan KPM sedang melihat perkara ini dan menyusun kenderaan untuk menghantar mereka ke sekolah. Ini semua sudah di bawah tindakan KPM," katanya.

 

+ - reset