TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Exco Selangor desak tindakan tegas terhadap hantaran hina Sultan Selangor

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 27 April – Barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini tampil mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang memuat naik hantaran menghina Sultan Selangor di media sosial.

Kesemua Exco terlibat menyifatkan perbuatan tersebut sebagai biadab, melampau, dan satu bentuk serangan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunggak kestabilan negara.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah menegaskan bahawa penghinaan tersebut tidak boleh diterima sama sekali dan pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya dilindungi atas sebarang alasan.

"Mana-mana pihak yang terlibat tidak boleh dilindungi, tidak kira latar belakang atau alasan yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah pula menyifatkan tindakan menyunting gambar yang menghina baginda boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat. Beliau menggesa MCMC segera memantau dan menurunkan kandungan berunsur penghinaan tersebut bagi mengelakkan ia terus tersebar.

Turut senada mengecam hantaran berkenaan ialah Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi; Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail; serta Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu.

Gesaan ini dibuat sebagai peringatan keras bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia bergantung kepada penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

+ - reset