TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib tarik balik rayuan Titah Adendum, tidak teruskan permohonan tahanan rumah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara rasmi menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum yang didakwa membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Keputusan tersebut dimaklumkan melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu. Tindakan ini menandakan berakhirnya usaha undang-undang Najib untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur melalui saluran semakan kehakiman tersebut.

Terdahulu, pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman tersebut, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menolak permohonannya. Bagaimanapun, Peguam Negara kemudiannya memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Isu Titah Adendum ini mula tercetus apabila Najib mendakwa terdapat titah tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah. Beliau memohon mahkamah mengarahkan kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengesahkan kewujudan serta melaksanakan titah berkenaan.

Najib kini sedang menjalani baki hukuman penjara selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asalnya daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta berkaitan sabitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Dengan penarikan balik rayuan ini, fokus kini beralih kepada prosiding Peguam Negara di Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 Julai 2025 bagi memutuskan persoalan undang-undang melibatkan kepentingan awam berkaitan kes tersebut.

+ - reset