TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

NRES adakan sidang media khas pencerahan isu gajah Dara, Amoi dan Kelat

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 28 April – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan satu sidang media khas pada Rabu bagi memberi pencerahan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia yang kini mendapat perhatian meluas masyarakat.

Sesi tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 1.30 tengah hari di Foyer NRES, Putrajaya, bertujuan menjelaskan secara terperinci isu melibatkan gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat di bawah Program Konservasi Gajah Malaysia.

Isu ini mula mendapat tumpuan selepas sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) memberi tempoh tiga hari kepada menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk mengeluarkan kenyataan membawa pulang haiwan berkenaan dari Jepun.

Tiga gajah tersebut dilaporkan telah dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka pada 10 Mac lalu sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala bagi tujuan pembiakan dan penyelidikan yang diselaraskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Bagaimanapun, timbul pertikaian mengenai asal-usul gajah tersebut apabila pihak NGO mendakwa dokumen kesihatan menunjukkan haiwan itu berasal dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah sejak kecil, bukannya dari Zoo Taiping sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Kebimbangan mengenai kebajikan gajah-gajah tersebut turut mencetuskan reaksi besar dalam kalangan pencinta haiwan sehingga satu petisyen bantahan telah dilancarkan dan berjaya meraih lebih 137,000 tandatangan setakat ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perak menegaskan bahawa kesemua gajah berkenaan kekal sebagai milik Zoo Taiping & Night Safari dan pemindahan tersebut tidak melibatkan sebarang urus niaga jual beli atau pemindahan hak milik.

+ - reset