TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di Facebook

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 28 April – Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau dan menghina institusi kehakiman menerusi media sosial Facebook.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, tertuduh, Mohamad Azri Sahlam, 41, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana secara sedar memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik pada 22 Disember tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda berkenaan dan beliau dilaporkan telah menjelaskan bayaran tersebut.

Mengikut peruntukan undang-undang, kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh membawa penalti denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC dalam kenyataan sama turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta tidak mencetuskan keresahan masyarakat.

"Pihak suruhanjaya memandang serius penyebaran kandungan berunsur 3R (agama, kaum, dan institusi diraja). Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kedaulatan undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat ketenteraman serta keharmonian awam," tegas kenyataan itu lagi.

+ - reset