Berita Berita
Lek Khang ada lesen senjata, tertembak diri sendiri ketika kosongkan pistol - Polis
JOHOR BAHRU 29 April - Polis telah merakam keterangan sembilan saksi bagi membantu siasatan insiden membabitkan bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Tan Lek Khang yang dipercayai tertembak diri sendiri ketika menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Ladang Rem, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua saksi terdiri daripada individu yang berada di lokasi kejadian termasuk jurulatih, pengawal peribadi, anak tiri lelaki mangsa berusia 19 tahun serta rakan.
“Berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, insiden dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam proses mengosongkan senjata api jenis pistol yang digunakan selepas sesi latihan menembak.
“Fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dipatuhi sepenuhnya, khususnya ketika proses pengendalian dan pengosongan senjata api," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Rabu.
Menurut beliau, dakwaan mangsa ditembak oleh individu lain adalah tidak tepat berdasarkan keterangan awal saksi.
“Siasatan awal setakat ini mendapati insiden itu tidak melibatkan pihak lain, sebaliknya dipercayai berpunca daripada kecuaian ketika mengendalikan senjata api,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan kini menumpukan kepada aspek pematuhan SOP keselamatan semasa latihan.
“Semakan mendapati mangsa memiliki lesen senjata api yang sah. Sehubungan itu, dua pucuk pistol milik mangsa jenis Sig Sauer dan Master Piece Arm, kelopak peluru serta peluru telah dirampas bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Mengulas keadaan mangsa, Ab Rahaman berkata lelaki berusia 40 tahun itu telah selesai menjalani pembedahan mengeluarkan peluru di dada kiri di Hospital Sultan Ismail (HSI) malam Selasa dan kini dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata api tanpa alasan yang sah.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain,” katanya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan cedera parah selepas dipercayai tertembak dirinya sendiri dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang di lapang sasar berkenaan.
Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, beliau bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).
Berita berkaitan
April 29, 2026, 8:20 pm
MOF cadang potong RM5.4 bilion belanja kesihatan, pendidikan tinggi perkukuh fiskal
April 29, 2026, 4:34 pm
Stok darah O dan A makin kurang, rakyat diminta menderma – PDN
April 29, 2026, 3:04 pm
Pemuda Pas desak semakan menyeluruh projek tebatan banjir di Selangor
April 29, 2026, 2:44 pm
Lelaki disyaki pukul isteri hingga keguguran direman tujuh hari
April 29, 2026, 1:31 pm
Aliff Syukri kalah saman fitnah, diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Kadir
April 29, 2026, 9:59 am
Budak 10 tahun dikhuatiri lemas, hanyut dalam longkang ketika hujan lebat di Puncak Alam
April 29, 2026, 9:53 am
30 rumah musnah dalam kebakaran di Karamunting
April 29, 2026, 9:47 am
