Berita Berita
MOF cadang potong RM5.4 bilion belanja kesihatan, pendidikan tinggi perkukuh fiskal
KUALA LUMPUR 29 April – Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai langkah mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.
Menurut laporan, pengurangan itu membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.
Cadangan pengurangan ini dilihat sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk mengekang perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal, sejajar dengan usaha lebih luas dalam pengurusan kewangan negara menjelang pelaksanaan dasar berkaitan Belanjawan 2026.
Penjimatan keseluruhan RM10 bilion
Pengurangan perbelanjaan untuk sektor kesihatan dan pendidikan tinggi berkenaan adalah sebahagian cadangan MOF untuk penjimatan perbelanjaan mengurus (OE) bagi 2026 kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM10 bilion.
Menerusi satu panduan yang dikeluarkan Perbendaharaan yang dilihat oleh BH, langkah itu adalah tindak balas kerajaan dalam menangani krisis Asia Barat.
Hal ini kerana, ketidakstabilan geopolitik dan peperangan di rantau Asia Barat, sekatan berterusan laluan utama Selat Hormuz yang menjadi laluan sekitar 20 peratus aliran minyak dunia telah mencetuskan gangguan kritikal kepada bekalan minyak global, sekali gus mengakibatkan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia.
Faktor luaran ini meningkatkan kos logistik antarabangsa, kos pengangkutan dan insurans, mencetuskan kenaikan harga tenaga dan memberi impak langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
Subsidi 2026 dijangka meningkat
MOF mengeluarkan cadangan penjimatan itu kerana keperluan subsidi yang perlu ditampung oleh kerajaan dijangka meningkat sebanyak RM43.4 bilion kepada RM58.4 bilion berbanding peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2026 hanya sebanyak RM15 bilion.
Daripada jumlah keseluruhan RM10 bilion yang dicadangkan supaya dapat dijimatkan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi antara kementerian yang dicadangkan melaksanakan penjimatan OE tertinggi, masing-masing dianggarkan sebanyak RM3.06 bilion dan RM2.39 bilion.
Ia diikuti oleh Kementerian Dalam Negeri (RM674 juta), Perbendaharaan (RM664 juta), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (RM571 juta), Kementerian Pertahanan (RM508 juta) dan Kementerian Pendidikan (RM466 juta).
Panduan itu turut menyatakan Pejabat Belanjawan Negara (NBO) MOF sudah diarahkan untuk meneliti semula Anggaran Perbelanjaan Persekutuan Tahun 2026 dengan melaksanakan penyesuaian semula belanjawan.
Susulan itu, kementerian, jabatan dan agensi hendaklah menyusun semula keutamaan perbelanjaan dan membuat penjimatan OE daripada baki peruntukan 2026 dan diberi tempoh sehingga 15 Mei ini untuk mengemukakan cadangan penjimatan OE kepada NBO.
Langkah penjimatan lain
Sementara itu, antara langkah lain yang dicadangkan oleh panduan Perbendaharaan MOF itu adalah penangguhan sementara pengambilan penjawat awam baharu dan pengwujudan perjawatan baharu dalam sektor awam.
Penangguhan pengambilan penjawat awam baharu itu termasuklah bagi jawatan tetap dan kontrak seperti MySTEP. Bagaimanapun, penangguhan itu dikecualikan bagi urusan penggantian atau pembaharuan kontrak pegawai sedia ada.
Penangguhan pengambilan penjawat awam baharu ini dikecualikan kepada jawatan-jawatan kritikal dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara dengan kawalan ketat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Selain itu, semua agensi termasuk Badan Berkanun Persekutuan (BBP), Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan rumah terbuka sempena sambutan perayaan.
Penganjuran acara, mesyuarat, persidangan dan sebagainya juga ditangguhkan dan sekiranya perlu, ia perlu dilaksanakan secara sederhana.
Panduan itu juga menggariskan lawatan atau kunjungan luar negara oleh Menteri dan seluruh anggota pentadbiran dihadkan hanya kepada mesyuarat berjadual yang wajib dihadiri.
Semua agensi kerajaan termasuk BBP, GLC dan GLIC juga disaran melaksanakan langkah-langkah penjimatan tenaga seperti menetapkan suhu penghawa dingin kepada sekurang-kurangnya 24 darjah Celsius serta mematikan lampu dan peralatan elektrik yang tidak digunakan.
MOF sahkan garis panduan
Sementara itu, MOF dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan bahawa panduan dikeluarkan kepada kementerian, jabatan dan agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus selaras dengan cabaran krisis bekalan global serta tanggungan subsidi yang meningkat.
Langkah itu, menurut MOF adalah sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimumkan sumber kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
"Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi," katanya.
Berita berkaitan
April 29, 2026, 4:34 pm
Stok darah O dan A makin kurang, rakyat diminta menderma – PDN
April 29, 2026, 3:04 pm
Pemuda Pas desak semakan menyeluruh projek tebatan banjir di Selangor
April 29, 2026, 2:44 pm
Lelaki disyaki pukul isteri hingga keguguran direman tujuh hari
April 29, 2026, 2:19 pm
Lek Khang ada lesen senjata, tertembak diri sendiri ketika kosongkan pistol - Polis
April 29, 2026, 1:31 pm
Aliff Syukri kalah saman fitnah, diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Kadir
April 29, 2026, 9:59 am
