Berita Berita
Pemuda Pas desak semakan menyeluruh projek tebatan banjir di Selangor
SHAH ALAM 29 April – Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan negeri melaksanakan audit forensik menyeluruh terhadap semua projek tebatan banjir bagi memastikan ketelusan, kecekapan serta keberkesanan pelaksanaan infrastruktur berkaitan.
Desakan itu disuarakan menerusi memorandum yang diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, audit itu perlu merangkumi aspek kos, jadual pelaksanaan dan tahap keberkesanan projek sedia ada bagi memastikan ketelusan serta kecekapan pengurusan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengenal pasti punca kelewatan atau kegagalan projek selain memastikan hanya syarikat berkelayakan dilantik melaksanakan projek berkaitan.
"Kita mahu audit forensik ini dilaksanakan segera dan hasilnya dibentangkan selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.
"Jika tidak dilaksanakan, ia akan menimbulkan persepsi seolah-olah wujud cubaan melindungi kelemahan tadbir urus yang akhirnya merugikan rakyat," katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum di hadapan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.
Mohamed Sukri berkata, selain audit forensik, pihaknya turut menggesa kerajaan negeri melakukan semakan ketat terhadap semua syarikat yang dilantik bagi projek tebatan banjir.
Katanya, syarikat yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual atau tidak mempunyai kepakaran teknikal perlu disenarai hitam serta-merta.
"Kerajaan negeri juga perlu mengemukakan pelan induk pengurusan banjir yang lebih komprehensif berpandukan amalan terbaik dunia dan memberi keutamaan kepada kawasan ‘hotspot’ dengan tindakan pantas serta pemantauan telus," jelas beliau.
Mohamed Sukri berkata, Pemuda Pas Selangor turut menuntut akauntabiliti daripada agensi atau syarikat yang gagal menyelia sistem amaran awal serta infrastruktur kritikal sehingga menyebabkan kerugian harta benda rakyat.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang dengan mengemukakan cadangan konstruktif demi memastikan isu banjir di Selangor ditangani secara berkesan.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut mengkritik tindakan menggantung dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan bersuara.
"Saya melihat tindakan ini sebagai satu bentuk pembunuhan demokrasi kerana wakil rakyat sepatutnya diberi ruang menyampaikan pandangan khususnya dalam perkara melibatkan kepentingan rakyat dan titah Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," tambah beliau.
Berita berkaitan
April 29, 2026, 8:20 pm
MOF cadang potong RM5.4 bilion belanja kesihatan, pendidikan tinggi perkukuh fiskal
April 29, 2026, 4:34 pm
Stok darah O dan A makin kurang, rakyat diminta menderma – PDN
April 29, 2026, 2:44 pm
Lelaki disyaki pukul isteri hingga keguguran direman tujuh hari
April 29, 2026, 2:19 pm
Lek Khang ada lesen senjata, tertembak diri sendiri ketika kosongkan pistol - Polis
April 29, 2026, 1:31 pm
Aliff Syukri kalah saman fitnah, diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Kadir
April 29, 2026, 9:59 am
Budak 10 tahun dikhuatiri lemas, hanyut dalam longkang ketika hujan lebat di Puncak Alam
April 29, 2026, 9:53 am
30 rumah musnah dalam kebakaran di Karamunting
April 29, 2026, 9:47 am
