TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki disyaki pukul isteri hingga keguguran direman tujuh hari

By
|
Kongsi
image

 

SUNGAI PETANI 29 April - Seorang lelaki yang dipercayai memukul isterinya sehingga parah dan mengalami keguguran di Ambangan Heights, minggu lalu, direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap dan pelitup muka tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi, manakala beberapa ahli keluarga mangsa turut hadir di pekarangan mahkamah.

Sebelum ini, lelaki berkenaan diberkas di Alor Setar selepas diburu polis susulan kejadian yang berlaku pada Khamis lalu.

Keluarga mangsa sebelum ini menyifatkan suspek sebagai seorang yang kejam dan berharap tindakan tegas diambil mengikut undang-undang.

Difahamkan, selain kes terbaharu membabitkan mangsa berusia 39 tahun yang juga penjawat awam, suspek turut berdepan prosiding mahkamah berkaitan kes mencederakan bekas isterinya di Johor beberapa tahun lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir serta batang penyapu sehingga mengalami kecederaan serius dan keguguran.

Selain itu, suspek juga didakwa melarikan barang kemas serta wang simpanan berjumlah kira-kira RM50,000.

Pasangan tersebut dilaporkan berkahwin di Thailand pada Disember tahun lalu, namun perkahwinan mereka belum didaftarkan di negara ini.

+ - reset