TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Stok darah O dan A makin kurang, rakyat diminta menderma – PDN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 April – Kumpulan darah O kekal mencatat permintaan tertinggi di negara ini susulan peranannya sebagai penderma universal yang boleh digunakan untuk hampir semua pesakit.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Nor Nazahah Mahmud berkata, darah kumpulan O boleh digunakan untuk pesakit kumpulan darah A, B, AB termasuk O.

“Darah O juga sering digunakan dalam situasi kecemasan apabila kumpulan darah pesakit masih belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, permintaan darah pada sesuatu masa sebenarnya bergantung kepada kumpulan darah pesakit yang memerlukan rawatan transfusi darah di hospital,” katanya.

Menurut beliau, ketika ini bekalan darah bagi kumpulan O dan A sedang mengalami kekangan yang memerlukan orang ramai yang mempunyai kumpulan darah berkenaan tampil menderma.

“Meskipun ketika ini kekangan pada darah O dan A, semua kumpulan darah penting dan diperlukan secara berterusan bagi memastikan setiap pesakit menerima transfusi darah yang tepat dan selamat mengikut kesesuaian kumpulan darah masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Nazahah berkata, PDN turut memperkukuh kecekapan pengurusan stok dan pengagihan darah melalui penggunaan sistem maklumat bersepadu dikenali sebagai Sistem Maklumat Bank Darah (BBIS) versi 2 (BBIS V2).

“Sistem ini digunakan di pusat pendermaan darah setiap negeri bagi membolehkan pemantauan stok darah dilakukan secara berpusat dan dalam masa nyata atau ‘real time’.

“Sebahagian maklumat pendermaan darah dan stok bekalan darah negara juga turut dipaparkan di aplikasi MySejahtera,” katanya.

Katanya, penggunaan analitik data turut dimanfaatkan bagi meramalkan permintaan darah berdasarkan pola penggunaan terdahulu.

“Pendekatan itu membantu PDN merancang kempen pendermaan darah dengan lebih berkesan, selain mengoptimumkan penggunaan darah mengikut tempoh hayat setiap komponen darah.

“Melalui kaedah ini, bekalan darah dapat disalurkan kepada hospital di seluruh negara dalam tempoh sewajarnya bagi memastikan keperluan pesakit sentiasa dipenuhi,” katanya.

+ - reset