TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas Pemimpin Bersatu Johor tertembak diri sendiri kini kritikal

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 29 April - Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Tan Lek Khang dilaporkan bertarung nyawa selepas cedera tertembak dirinya sendiri di bahagian dada dalam kejadian di Kota Tinggi, petang tadi.

Mangsa berusia 41 tahun kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat kecederaan dalaman yang serius, dengan prosedur itu dijangka mengambil masa kira-kira empat jam.

Bekas Setiausaha Bersatu Bersekutu Johor, Yeo Kwee Kwang berkata, mangsa dikejarkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 5.30 petang selepas menerima rawatan awal di Hospital Kota Tinggi.

“Kami tidak pasti keadaan sebenar sama ada beliau sedar atau tidak kerana maklumat masih terhad.

“Namun kami difahamkan Datuk sedang menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan pada bahagian dada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI, malam ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menjalani latihan mengendalikan senjata api di sebuah pusat latihan menembak.

“Ada kemungkinan semasa latihan itu terdapat peluru yang masih berada dalam pistol berkenaan menyebabkan tembakan tidak sengaja berlaku dan mencederakan beliau di bahagian badan.

“Bagaimanapun, perkara itu masih belum dapat disahkan sepenuhnya. Sama-sama kita mendoakan semoga pembedahan berjaya dan Datuk selamat,” katanya.

Difahamkan, isteri mangsa kini berada di hospital menunggu perkembangan terkini daripada pihak doktor, manakala rakan-rakan serta kenalan turut hadir bagi memberi sokongan kepada keluarga.

Terdahulu, mangsa dilaporkan cedera selepas tertembak dirinya sendiri ketika menjalani latihan menembak di sebuah pusat latihan di Kota Tinggi kira-kira jam 3 petang.

+ - reset