Berita Berita
'Jangan sesekali tarik balik aduan' – Fadhlina kongsi langkah patut diambil wanita jika jadi mangsa KRT
KUALA LUMPUR 29 April – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes keganasan rumah tangga mutakhir ini, sambil menegaskan bahawa wanita terus menjadi mangsa walaupun berada di tempat yang sepatutnya paling selamat iaitu di rumah sendiri.
Menurut beliau, situasi itu memberi gambaran serius bahawa isu keganasan terhadap wanita masih berlarutan dan memerlukan tindakan segera serta kesedaran menyeluruh daripada semua pihak.
“Saya cukup terkesan dengan kes-kes keganasan rumah tangga khususnya yang berlaku kebelakangan ini. Wanita berterusan menjadi mangsa walaupun di dalam rumah sendiri yang disangka sebagai tempat paling selamat,” katanya dalam kenyataan di Facebook, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Fadhlina menggariskan beberapa langkah penting sebagai panduan kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, termasuk keperluan membuat laporan polis dengan segera serta memastikan siasatan dibuka.
Beliau turut menasihatkan mangsa supaya memohon Perintah Perlindungan Sementara (Interim Protection Order - IPO) dan tidak sesekali menarik balik aduan yang telah dibuat.
Selain itu, mangsa juga digalakkan mendapatkan bantuan di pusat krisis setempat di hospital yang menyediakan perkhidmatan rawatan kecemasan, sokongan psikososial serta bantuan polis.
“Pastikan laporan perubatan lengkap diperoleh di hospital kerajaan termasuk merekodkan kecederaan lama atau tanda tekanan emosi seperti kemurungan dan kebimbangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan mangsa keluar daripada persekitaran tidak selamat dan mendapatkan perlindungan sementara, selain memastikan dokumen penting disimpan dalam keadaan mudah dicapai sekiranya perlu meninggalkan rumah dengan segera.
Fadhlina turut mengingatkan mangsa supaya mendapatkan sokongan daripada rakan atau ahli keluarga yang boleh menemani mereka sepanjang proses mendapatkan bantuan.
“Dalam keadaan krisis, emosi tidak stabil dan mangsa mungkin berasa takut serta keliru. Dapatkan sokongan psikososial segera dan jangan berlengah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa wanita tidak perlu takut meninggalkan rumah yang tidak selamat atau berdepan ugutan, sebaliknya perlu mengutamakan keselamatan diri dan anak-anak.
Dalam pada itu, beliau menyeru ahli keluarga dan rakan-rakan agar memainkan peranan aktif membantu serta menyokong mangsa berdasarkan langkah-langkah yang digariskan.
“Kepada para wali, ketika anak perempuan dinikahkan, suami telah berjanji untuk menjaga dan tidak memudaratkan mereka. Jangan biarkan anak perempuan kita kembali dalam keadaan tidak bernyawa. Lindungi mereka dengan segala daya yang ada,” katanya.
Fadhlina turut menggesa masyarakat meningkatkan advokasi dan kesedaran berhubung keganasan terhadap wanita, selain menyeru semua pihak mengambil peranan masing-masing dalam menangani isu tersebut. - Media Telus
Berita berkaitan
April 29, 2026, 8:20 pm
MOF cadang potong RM5.4 bilion belanja kesihatan, pendidikan tinggi perkukuh fiskal
April 29, 2026, 4:34 pm
Stok darah O dan A makin kurang, rakyat diminta menderma – PDN
April 29, 2026, 3:04 pm
Pemuda Pas desak semakan menyeluruh projek tebatan banjir di Selangor
April 29, 2026, 2:44 pm
Lelaki disyaki pukul isteri hingga keguguran direman tujuh hari
April 29, 2026, 2:19 pm
Lek Khang ada lesen senjata, tertembak diri sendiri ketika kosongkan pistol - Polis
April 29, 2026, 1:31 pm
Aliff Syukri kalah saman fitnah, diperintah bayar RM250,000 kepada Abdul Kadir
April 29, 2026, 9:59 am
