Berita Jenayah
Pasangan remaja ditahan susulan cubaan gugur kandungan, sembunyi janin dalam kereta
MELAKA 6 Mei – Sepasang kekasih berusia 18 tahun telah ditahan pihak polis selepas tindakan remaja perempuan cuba menggugurkan kandungan berusia lima bulan membongkar penemuan janin yang disembunyikan di dalam sebuah kereta.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, memaklumkan bahawa penahanan pertama membabitkan suspek lelaki dilakukan pada 25 April lalu, manakala remaja perempuan terbabit ditahan semalam sejurus dibenarkan keluar dari hospital.
Kes tersebut mula dikesan apabila remaja perempuan berkenaan hadir ke Hospital Melaka dalam keadaan berlumuran darah akibat komplikasi selepas dipercayai mengambil pil penggugur kandungan.
Hasil siasatan mendapati remaja terbabit telah melahirkan janin berusia 22 minggu yang tidak bernyawa sebelum uri kandungannya gagal dikeluarkan sepenuhnya sehingga menyebabkan pendarahan parah.
Suspek lelaki yang merupakan teman lelaki mangsa kemudiannya bertindak mengambil janin berkenaan dan menyembunyikannya di dalam sebuah kereta jenis Honda City di kediamannya sebelum merancang untuk menanamnya.
Pihak polis yang menerima laporan daripada pegawai perubatan segera melancarkan siasatan dan berjaya menemui janin tersebut serta memberkas suspek lelaki pada jam 11.40 malam hari kejadian.
Saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek menunjukkan keputusan negatif dadah dan semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Pasangan tersebut kini berhadapan siasatan mengikut Seksyen 315 dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan keguguran serta menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.
Kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, pada Jumaat ini untuk menghadapi pertuduhan rasmi selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Berita berkaitan
May 5, 2026, 11:08 am
Warga emas maut ditetak jiran, suspek ada rekod rawatan mental ditahan
May 4, 2026, 9:16 am
Hina Sultan Selangor: Lelaki ditahan di Bukit Mertajam
May 2, 2026, 6:01 pm
Kanak-kanak 10 tahun maut, pemandu Hilux positif ganja rempuh laluan bertentangan
May 2, 2026, 12:09 pm
Penuntut kolej maut dengan 61 kesan tikaman, empat suspek ditahan
April 28, 2026, 1:36 pm
10 warga asing ditahan, empat sindiket penipuan tumpas di Selangor
April 27, 2026, 2:48 pm
Kes hina Sultan Selangor: Polis kenal pasti pemilik akaun Facebook, 21 laporan diterima
April 27, 2026, 10:25 am
