TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 12 tahun maut dihempap blok konkrit ketika bermain di Pasir Puteh

By
|
Kongsi
image

 

PASIR PUTEH 9 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas dihempap blok konkrit ketika bermain di hadapan rumahnya di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohammad Yusof Nor Ismail dipercayai sedang bermain korek pasir di kawasan blok konkrit berkenaan bersama bapa saudaranya, Mohd Yunus Nasir yang seusia dengannya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, seorang ahli keluarga kemudian memaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh ke dalam lubang pasir sebelum mendapati mereka dihempap blok konkrit.

"Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan keluarga menghubungi Klinik Kesihatan Cherang Ruku, sebelum penolong pegawai kesihatan klinik berkenaan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa kanak-kanak cedera di bahagian leher dan dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, Aktivis Jejak Jalanan, Tengku Mohd Harith Hakimin Tengku Abdul Azis berkata, mangsa dan keluarga adalah penerima sumbangan bulanan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Katanya, mayat kanak-kanak itu masih berada di HTA untuk urusan bedah siasat dan pihaknya akan membantu urusan pengebumian nanti.

+ - reset