Berita Berita
ADUN Bersatu dipecat bukan pembangkang, masih jalan tugas seperti biasa – Sanusi
ALOR SETAR 9 Mei – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang dipecat parti itu semalam masih meneruskan tugas dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah seperti biasa setakat ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis perlu melalui proses pentadbiran serta mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Dzowahir ketika ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, manakala Abdul Razak merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan. Mereka masih menjalankan tugas (EXCO negeri dan Timbalan Speaker DUN) seperti biasa ketika ini," kata Sanusi.
Menurut beliau, kedua-dua wakil rakyat berkenaan kini berstatus ADUN Bebas namun masih menyokong pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN).
"Mereka bukan pembangkang, sebaliknya ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri. Kedudukan mereka akan dibincangkan lanjut," katanya.
Sanusi turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sebelum ini sudah menerima surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran jawatan EXCO dan Timbalan Speaker DUN Kedah membabitkan kedua-dua ADUN terbabit.
Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan diambil ketika itu kerana mereka masih lagi ahli Bersatu.
Katanya, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah pada 10 April lalu.
"Ketika itu mereka belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan EXCO dan Timbalan Speaker," katanya.
Semalam, Bersatu menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan Dzowahir dan Abdul Razak dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Pemecatan tersebut dibuat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Dalam perkembangan sama, tujuh lagi pemimpin Bersatu digantung keahlian selama dua penggal pemilihan parti melibatkan lima Ahli Parlimen dan dua ADUN.
Lima Ahli Parlimen itu ialah wakil Lumut, Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor serta Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Dua lagi yang digantung ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.
Berita berkaitan
May 9, 2026, 3:44 pm
'Panggillah nama apa sekali pun tak mengapa' - KJ rayu Anwar kembalikan semula GST
May 9, 2026, 9:34 am
Budak 12 tahun maut dihempap blok konkrit ketika bermain di Pasir Puteh
May 8, 2026, 6:28 pm
KTMB sedia 186 tren tambahan sempena Aidiladha, cuti sekolah
May 8, 2026, 6:22 pm
Banjir kilat: MBPJ kecualikan sewa dua bulan buat peniaga Medan Selera 223
May 8, 2026, 5:57 pm
