TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Semuanya berasal dari 'rahim' UMNO juga' - Asyraf Wajdi pelawa pemimpin, ahli Bersatu dipecat sertai ‘Rumah Bangsa’

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Mei - UMNO membuka pintu kepada mana-mana pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat atau digantung untuk menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan bersedia menerima sesiapa sahaja tanpa sebarang syarat termasuk bekas pemimpin dan ahli Bersatu.

Menurut beliau, kebanyakan mereka yang terlibat sebelum ini juga berasal daripada UMNO, sekali gus menyifatkan penyertaan semula itu sebagai “sirih pulang ke gagang”.

“Kembalilah ke RUMAH BANGSA! UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli BERSATU yang dipecat atau digantung.

“Lagipun semuanya berasal dari RAHIM UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan sambutan terhadap pendaftaran ahli baharu UMNO secara dalam talian terus menggalakkan sejak dilancarkan dua minggu lalu.

Menurutnya, setakat ini jumlah pendaftaran baharu yang diterima mencecah 17,000 orang.

“Yang mana masih belum mendaftar boleh daftar dengan mudah dan sepantas tak sampai 3 minit di: https://myumno.org/,” katanya.

Semalam, Bersatu dalam satu kenyataan mengumumkan pemecatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu iaitu Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Pada masa sama, lima Ahli Parlimen turut digantung iaitu Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut dikenakan penggantungan ialah ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain.

Selain itu, tiga Ahli Parlimen menerima notis amaran atas pelanggaran disiplin parti masing-masing iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam).

+ - reset