TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu babi: 'Kalau ada syarikat boleh patuh syarat ketat, sukar untuk kerajaan kata tak boleh' - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

CEBU 8 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan aktiviti penternakan babi tidak boleh dijalankan secara bebas tanpa kawalan ketat terutama berhampiran kawasan penempatan penduduk.

Menurut laporan Astro Awani, Anwar berkata, pandangan yang dizahirkan Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu tersebut adalah berasas memandangkan wujud pelbagai keterlanjuran sehingga menjejaskan kesihatan awam.

“Tuanku Sultan Selangor berkenan mengemukakan pandangan kerana apa yang berlaku sekarang terlalu banyak keterlanjuran, menjejaskan kesihatan awam dan kurang pengawalannya,” katanya dalam sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu pada Jumaat.

Menurut Anwar Ibrahim, beliau secara prinsip tidak bersetuju sekiranya penternakan khinzir dibangunkan terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk.

“Pada prinsip saya tidak setuju umpamanya penternakan khinzir itu di mana-mana (penempatan)... mesti kawalannya ketat, mesti kawasan yang jauh daripada penduduk.

“Bukan sahaja penduduk Muslim, penduduk Cina pun tidak mahu duduk di kawasan tersebut, jadi biar jauh sedikit…itu satu,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan operasi penternakan perlu menggunakan teknologi moden selain memberi jaminan bahawa tiada pencemaran akan berlaku.

“Kedua, teknologi itu mesti canggih. Selain itu, jaminan pencemaran… maknanya tidak berlakunya pencemaran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan sukar menghalang sepenuhnya industri tersebut sekiranya pengusaha berjaya memenuhi syarat ketat yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Kalau ada syarikat yang boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat itu, tentunya bagi pihak kerajaan sukar untuk mengatakan tidak boleh,” katanya.

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah meneliti isu berkenaan dan beliau sendiri akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta memohon perkenan baginda.

Dalam pada itu, beliau berkata antara kebimbangan utama dibangkitkan ialah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan termasuk di Klang.

“Ini sebabnya, sementara waktu noktahlah dulu,” katanya.

Pada Khamis lalu, media melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan pendirian baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata, pendirian itu dibuat selepas mengambil kira implikasi pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan ternakan.

+ - reset