TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Panggillah nama apa sekali pun tak mengapa' - KJ rayu Anwar kembalikan semula GST

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Mei - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memperkukuhkan kedudukan fiskal negara.

Menurut beliau, sistem percukaian sedia ada dilihat tidak cukup kukuh untuk membantu negara berdepan sebarang krisis ekonomi atau kecemasan pada masa depan.

Khairy berkata, cadangan tersebut pernah disuarakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri mesyuarat Menteri Kewangan kira-kira setahun selepas Ahli Parlimen Tambun itu dilantik mengetuai kerajaan.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri, kalau satu benda yang Datuk Seri Anwar boleh buat ialah kembalikan GST. Tak payah panggil GST, panggil apa pun boleh… panggil ‘X tax’ ke? Fair and Equitable Tax ke…. MADANI tax pun tak apa… sebab apa? Pendapatan kita tidak cukup,” katanya semasa menjadi ahli panel program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Turut menyertai program berkenaan ialah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini tidak mampu menjana hasil mencukupi terutama ketika negara berdepan situasi tidak menentu seperti pandemik COVID-19 atau konflik geopolitik di Asia Barat.

Selain itu, beliau turut menolak dakwaan bahawa GST membebankan rakyat kerana ketika pelaksanaannya dahulu, banyak barangan asas serta sektor penting termasuk pendidikan dan kesihatan diberikan pengecualian atau dikenakan kadar sifar.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan kerajaan perlu berani membuat keputusan sukar khususnya pada peringkat awal pentadbiran sebelum perhatian beralih kepada persiapan menghadapi pilihan raya.

“Jadi, apa yang saya nak cakap dengan ringkas adalah jangan politikkan urusan ekonomi negara.

“Disebabkan (GST) BN (Barisan Nasional) buat dulu… janganlah sebab itu, tak nak buat benda yang betul.

“Malangnya tidak ada keberanian untuk melaksanakan (GST),” tegas Khairy.

Untuk rekod, GST mula diperkenalkan di Malaysia pada 1 April 2015 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan kadar enam peratus sebelum dimansuhkan dan digantikan semula dengan SST.

+ - reset