TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tengku Hassanal berjaya tawan puncak Gunung Kinabalu

By
|
Kongsi
image

KUNDASANG 14 Mei – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berjaya mencapai puncak Gunung Kinabalu pada jam 8.45 pagi semalam.

Baginda bersama rombongan memulakan pendakian terakhir pada jam 3.07 pagi selepas tiba di Panalaban pada jam 3.45 petang, Selasa lalu. Penolong Pengurus Taman-Taman Sabah (Unit Penyelamat dan Krisis), Julaimin Kamin memaklumkan bahawa baginda tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada jam 5.05 pagi sebelum meneruskan pendakian pada jam 6.37 pagi dan sampai ke puncak dua jam kemudian.

Keadaan cuaca dilaporkan sangat baik dengan suhu sekitar 9°C, sekali gus memastikan ekspedisi tersebut berjalan lancar dan selamat. Baginda serta rombongan meluangkan masa hampir sejam di puncak gunung sebelum mula turun ke Panalaban pada jam 9.30 pagi.

Pendakian ini merupakan sebahagian daripada Ekspedisi Mahkota Borneo selama tiga hari yang berakhir semalam. Ekspedisi tersebut telah bermula di Pintu Gerbang Timpohon pada jam 8.05 pagi, Selasa.

Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan terletak di dalam Taman Kinabalu seluas 754 kilometer persegi. Diwartakan pada tahun 1964, Taman Kinabalu merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama di negara ini dan menjadi kawasan penting bagi pemuliharaan biodiversiti.

+ - reset