TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga Malaysia ditahan di Hatyai bersama 102kg syabu bernilai lebih RM5 juta

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 14 Mei – Polis Bukit Aman mengesahkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 32 tahun telah ditahan di Hatyai, Thailand, selepas pihak berkuasa negara itu merampas kira-kira 102 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai lebih RM5 juta pada 5 Mei lalu.

Suspek ditahan dalam satu operasi sekatan jalan raya kira-kira jam 2 pagi selepas pemandu sebuah kereta Honda berwarna putih bernombor pendaftaran Malaysia dilihat bertindak dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan rapi ke atas kenderaan tersebut, polis Thailand menemui bungkusan dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan di dalam bahagian pembesar suara yang telah diubah suai pada ruang but belakang.

Siasatan awal mendapati suspek mengambil kenderaan itu di Surat Thani dan dalam perjalanan menuju ke pintu sempadan Sadao untuk menyeludup bekalan tersebut masuk ke Malaysia melalui laluan darat. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, percaya suspek merupakan sebahagian daripada sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang teratur.

Menurut jurucakap keselamatan Thailand, suspek mengaku bahawa ini merupakan percubaan kedua beliau dalam aktiviti penyeludupan dadah dan mendakwa ditawarkan bayaran sekitar 123,515 baht (RM15,000) bagi penghantaran tersebut.

Suspek yang dikesan memasuki Thailand pada 2 Mei lalu kini sedang direman di Balai Polis Hat Yai untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Thailand dengan kerjasama Bukit Aman bagi mengenal pasti rangkaian sindiket tempatan yang terlibat.

+ - reset