TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Guru Bitara’ jadi teras RPM 2026-2035 hadapi cabaran AI, dunia digital

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Mei – Elemen Guru Bitara dijadikan teras utama dalam menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu mendepani cabaran global serta transformasi digital dalam tempoh sedekad akan datang.

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, konsep Guru Bitara bukan sekadar gelaran, sebaliknya merujuk kepada pendidik berkualiti unggul yang memiliki ilmu, kemahiran, keseimbangan emosi dan kekuatan rohani dalam membina generasi insan sejahtera.

Beliau berkata, menerusi RPM yang dilancarkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada awal tahun ini, satu strategi khusus digariskan bagi melahirkan insan terdidik yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai kemahiran insaniah tinggi.

“Sebab itu insan terdidik yang kita nak lahirkan memerlukan guru yang bitara. Guru bitara ialah guru yang tiada tolok bandingnya dari segi nyala rasa, ilmu, kemahiran, keseimbangan emosi dan psikologinya, serta fokus terhadap tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Guru Bitara Nadi Negara” terbitan Bernama TV.

Mengulas tema Hari Guru 2026 iaitu “Guru Bitara Nadi Negara”, Mohd Azam berkata, peranan guru kini semakin mencabar susulan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan dunia tanpa sempadan yang memerlukan transformasi kaedah pengajaran.

“Cikgu perlu sedar cabaran anak-anak kita pada masa depan. Anak kita hidup dalam dunia tanpa sempadan. Cabaran di sini ialah nilai-nilai luar mula menerobos masuk ke dalam kehidupan anak-anak kita. Sebab itu kita nak transformasikan cikgu menjadi pendidik yang sesuai dengan zaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan usaha berterusan sedang dilakukan bagi mengurangkan beban tugas bukan profesional guru supaya mereka dapat memberi tumpuan penuh kepada proses pengajaran di dalam bilik darjah.

Beliau turut mengingatkan pihak pentadbiran sekolah agar tidak terlalu terikat dengan budaya ranking atau persaingan aktiviti secara berlebihan sehingga menjejaskan kreativiti dan kesejahteraan mental guru.

Menyentuh sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Perak pada 15 Mei ini, beliau berkata, sebanyak 625 guru dijadualkan membaca khutbah Jumaat khas di masjid seluruh negeri sebagai antara kelainan sambutan tahun ini.

Menurutnya, sambutan yang akan dirasmikan Perdana Menteri itu turut dilaksanakan secara berhemah selaras saranan kerajaan mengenai langkah penjimatan, namun tetap mengekalkan penghormatan tertinggi kepada profesion perguruan sebagai usaha membina negara bangsa.

+ - reset