TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Akmal Nasir enggan ulas hala tuju politik Rafizi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Mei – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir enggan mengulas mengenai pengumuman hala tuju politik Datuk Seri Rafizi Ramli yang dijadualkan pada hujung minggu ini.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi mengambil pendirian tersebut kerana ingin menghormati majlis World Bank dan Malaysia Economic Monitor yang dihadirinya serta mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan ekonomi negara.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dengan Rafizi, termasuk sebagai pengasas bersama serta pengarah di National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW) dan Ketua Pegawai Penyelidik di INVOKE.

Beliau berjaya mengekalkan kedudukan dalam kepimpinan pusat PKR bagi penggal 2025 hingga 2028 meskipun tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru tahun lalu.

Semalam, Rafizi mengesahkan beliau dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, akan mengumumkan hala tuju politik baharu mereka pada Ahad ini.

Keputusan itu dibuat selepas mereka mengambil masa setahun untuk mempertimbangkan pelbagai faktor susulan peletakan jawatan masing-masing pada Jun dan Julai lalu setelah tewas dalam pemilihan PKR 2025.

Dalam pemilihan tersebut, Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi pula kalah dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden.

+ - reset