Berita Berita
'Sakit hati lihat komen negatif, ingat pelajar tahfiz ni cikai ke?' - Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR 18 Mei – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Asyraf Wajdi Dusuki tampil mempertahankan usaha agensi itu memperkasa pelajar tahfiz dalam bidang profesional termasuk sebagai juruterbang susulan dakwaan wujud pihak yang memperlekeh kemampuan golongan huffaz.
Beliau melahirkan rasa kecewa terhadap komen negatif yang dimuat naik di ruangan Facebook sebuah portal berita dalam talian berkaitan inisiatif MARA membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz menceburi bidang profesional.
“Sakit hati melihat komen-komen negatif di ruangan Facebook portal berita yang cuba memperlekeh dan mempertikai usaha MARA mengangkat martabat pelajar-pelajar tahfiz sebagai golongan profesional termasuk juruterbang.
“Apa mereka ingat pelajar-pelajar tahfiz ini cikai-cikai?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial dilaporkan meninggalkan komen yang mempertikaikan kemampuan pelajar tahfiz untuk mengikuti program kadet juruterbang, termasuk mempersoalkan penguasaan mereka dalam subjek Fizik dan Matematik.
Mengulas perkara itu, Asyraf Wajdi berkata pencapaian akademik pelajar di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab membuktikan golongan huffaz mampu cemerlang bukan sahaja dalam bidang agama, malah akademik dan sains.
Menurut beliau, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan semua lapan MRSM Ulul Albab yang pelajarnya menghafaz 30 juzuk al-Quran berjaya berada dalam kelompok 20 sekolah terbaik di Malaysia.
“Seramai 221 pelajar huffaz MRSM turut memperoleh semua A dalam mata pelajaran termasuk Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
“Cakaplah apa saja, selagi saya sebagai Pengerusi MARA, usaha memartabatkan agenda memprofesionalkan golongan huffaz akan terus diperkasakan,” katanya.
Pada 16 Mei lalu, Asyraf Wajdi mengumumkan bahawa MARA akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti program kadet juruterbang dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz.
Beliau berkata, MARA akan mengeluarkan iklan rasmi berserta syarat kelayakan bagi program berkenaan dalam masa terdekat.
Katanya, antara syarat minimum yang ditetapkan ialah calon perlu datang daripada aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Berita berkaitan
May 18, 2026, 1:34 pm
Ketua Polis Daerah disiasat lakukan gangguan seksual terhadap anggotanya
May 18, 2026, 1:31 pm
Agong kurniakan 100 lembu korban, titah agih daging kepada asnaf dan golongan B40
May 18, 2026, 12:32 pm
Loke puji hanya Anwar berani buka laluan UEC ke universiti awam
May 18, 2026, 11:28 am
Ramai terlewat ke tempat kerja, LRT laluan Kelana Jaya rosak pagi tadi
May 18, 2026, 11:16 am
PH yakin hadapi PRN, PRU, gelombang sokongan rakyat kembali memuncak - Yuneswaran
May 18, 2026, 9:26 am
