Berita Berita
Kerusi Parlimen kosong: Urusan penduduk Setiawangsa dijamin lancar, peranan DBKL diperkukuh - Hannah Yeoh
PUTRAJAYA 18 Mei – Urusan kebajikan serta penyampaian perkhidmatan melibatkan penduduk di kawasan Parlimen Setiawangsa dijamin akan terus berjalan lancar dan berfungsi seperti biasa meskipun kerusi tersebut kini dikosongkan oleh penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Jaminan tersebut disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud untuk memperkasakan lagi operasi Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa.
Langkah pengukuhan itu turut membabitkan penambahan bilangan tenaga kerja di cawangan berkenaan bagi memastikan setiap aduan, keperluan komuniti, serta tindakan di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien tanpa sebarang gangguan birokrasi sepanjang tempoh transisi ini.
"Saya merujuk kepada pengumuman Nik Nazmi untuk mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Setiawangsa. Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Hannah turut menjelaskan, sebarang urusan mahupun aduan setempat boleh disalurkan secara terus oleh orang ramai dengan hadir ke Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di alamat D’Wangsa, 1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, atau menghubungi talian 03-4142 2740 serta e-mel pcsw.dbkl@gmail.com.
Dalam pada itu, beliau turut memberi komitmen bertulis untuk bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh bagi mempertahankan status Bukit Dinding supaya kawasan bukit tersebut kekal terpelihara sebagai zon hijau serta kawasan paru-paru kota demi manfaat jangka panjang komuniti setempat.
Kelmarin, landskap politik Wilayah Persekutuan bertukar rancak susulan tindakan drastik Nik Nazmi bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan peletakan jawatan wakil rakyat serta pengunduran rasmi daripada PKR bagi menerajui sebuah wadah politik baharu, Parti Bersama Malaysia.
Berita berkaitan
May 18, 2026, 12:32 pm
Loke puji hanya Anwar berani buka laluan UEC ke universiti awam
May 18, 2026, 12:04 pm
'Sakit hati lihat komen negatif, ingat pelajar tahfiz ni cikai ke?' - Asyraf Wajdi
May 18, 2026, 11:28 am
Ramai terlewat ke tempat kerja, LRT laluan Kelana Jaya rosak pagi tadi
May 18, 2026, 11:16 am
PH yakin hadapi PRN, PRU, gelombang sokongan rakyat kembali memuncak - Yuneswaran
May 18, 2026, 9:26 am
UEC diiktiraf ke IPTA, GPMS rancang himpunan `Korban Akta Pendidikan’ di KPT 30 Jun ini
May 18, 2026, 8:38 am
PRN Melaka hampir pasti dalam tempoh empat bulan lagi - Ab Rauf
May 18, 2026, 8:29 am
