TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PH yakin hadapi PRN, PRU, gelombang sokongan rakyat kembali memuncak - Yuneswaran

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Mei – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan sokongan rakyat terhadap gabungan itu kembali meningkat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, susulan keyakinan yang ditunjukkan akar umbi, jentera parti dan penyokong gabungan berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Yuneswaran Ramaraj berkata, suasana pada Konvensyen PH yang dihadirinya memperlihatkan semangat baharu dalam kalangan penyokong yang disifatkan semakin bersedia menghadapi medan pilihan raya.

Menurut beliau, amanat yang disampaikan pimpinan PH bukan lagi tertumpu kepada retorik politik semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada hala tuju negara, kestabilan Kerajaan Perpaduan dan kejayaan dasar-dasar Kerajaan MADANI yang didakwa semakin dirasai rakyat.

Katanya, Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar kepercayaan antara parti-parti politik serta semangat perpaduan untuk menyelamatkan negara daripada politik ekstrem, perpecahan dan ketidakstabilan.

Dalam masa sama, beliau berkata pengumuman Pengerusi PH, Anwar Ibrahim bahawa gabungan itu akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor membuktikan keyakinan PH untuk bergerak dengan kekuatan sendiri.

Menurutnya, PH mahu rakyat menilai prestasi sebenar kerajaan semasa berdasarkan pencapaian pentadbiran dan bukannya dipengaruhi propaganda atau politik kebencian.

Beliau berkata rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan tidak lagi mahukan pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihan raya sebelum menghilang selepas memperoleh kuasa.

“Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bekerja setiap hari, menyelesaikan masalah rakyat, menjaga ekonomi, membina perpaduan dan memastikan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Yuneswaran berkata setiap parti mempunyai hak untuk membuat keputusan politik sendiri termasuk di peringkat negeri, namun ia tidak akan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini kekal tertumpu kepada usaha memastikan kestabilan negara, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat terus dipelihara.

Beliau turut mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri dengan menyatakan pentadbiran negara ketika ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan kerajaan dianggotai 18 parti politik dengan pelbagai ideologi dan tuntutan.

Namun, katanya, Kerajaan Perpaduan masih kekal stabil dan mampu mentadbir negara secara berkesan meskipun berdepan tekanan daripada pelbagai pihak.

“Itulah kekuatan sebenar politik matang,” katanya.

Menurut beliau lagi, ketika pihak lain terus memainkan politik kebencian dan perpecahan, Kerajaan MADANI memilih untuk memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, menarik pelaburan, memperkukuh bantuan kepada rakyat serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.

Katanya, pilihan raya bukan sekadar perebutan kuasa, sebaliknya melibatkan masa depan negara, kestabilan politik dan ekonomi rakyat.

Tambah beliau, PH bersedia mempertahankan rekod pentadbiran sedia ada selain meneruskan agenda reformasi demi membina Malaysia yang lebih adil, progresif dan bersatu di bawah semangat Malaysia MADANI.

+ - reset