TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UEC diiktiraf ke IPTA, GPMS rancang himpunan `Korban Akta Pendidikan’ di KPT 30 Jun ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Mei – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempersoalkan pendirian kerajaan berhubung pelaksanaan laluan inklusif kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), meskipun kerajaan sendiri menegaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi.

Presidennya, Fazeree Fauzi berkata, kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa dasar pendidikan negara tidak boleh dikompromi demi memenuhi tuntutan mana-mana pihak dilihat tidak selari dengan tindakan kementerian yang masih meneruskan laluan kemasukan UEC ke IPTA dengan syarat tertentu.

Menurut beliau, GPMS berpandangan IPTA merupakan institusi nasional yang perlu kekal berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta sistem pendidikan negara.

Katanya, pendidikan tidak boleh dilihat hanya daripada sudut akses akademik semata-mata sehingga mengabaikan asas pembinaan identiti nasional.

“Dalam masa sama, GPMS melihat pendirian Dong Zong sendiri membuktikan bahawa mereka masih tidak berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan kerajaan termasuk keperluan lulus Bahasa Melayu dan Sejarah SPM.

“Maka, KPT tidak perlu meneruskan pelaksanaan laluan inklusif ini.

“Sekiranya KPT sendiri sudah memahami sensitiviti dan implikasi besar terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, kenapa perlu diteruskan lagi?” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Fazeree berkata isu berkenaan sewajarnya dibawa semula ke peringkat Kabinet dan Parlimen untuk dibincangkan secara menyeluruh kerana pelaksanaan semasa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilihat bercanggah serta gagal menyelesaikan pertikaian yang timbul.

Beliau turut mempersoalkan jaminan kerajaan sekiranya badan pengelola UEC dibubarkan, berdepan pertikaian atau berlaku perubahan dasar pada masa hadapan.

Katanya, perkara itu timbul memandangkan UEC dikendalikan oleh sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), dan bukannya berada sepenuhnya di bawah kerangka sistem pendidikan nasional negara.

“Persoalan ini penting kerana universiti awam ialah institusi nasional yang mesti dibina atas asas sistem pendidikan yang stabil, jelas serta berada di bawah kawal selia negara secara menyeluruh melalui Akta Pendidikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata GPMS akan menggerakkan satu himpunan dikenali sebagai Korban Akta Pendidikan pada 30 Jun depan di hadapan KPT sekiranya perkara itu diteruskan.

Menurutnya, himpunan tersebut bertujuan membantah usaha yang disifatkan mencabar asas Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tambah beliau, GPMS juga akan mengadakan sidang meja bulat bersama NGO Melayu Islam dan pendidikan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan.

+ - reset