Berita Berita
Pasport baharu diperkenalkan 1 Jun, ciri keselamatan melonjak ke 94 bagi kekang pemalsuan
PUTRAJAYA 19 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal meluncurkan reka bentuk dan versi baharu Pasport Malaysia Antarabangsa bermula 1 Jun depan yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan tinggi berbanding hanya 49 ciri pada dokumen sedia ada.
Langkah drastik meningkatkan hampir sekali ganda elemen perlindungan keselamatan tersebut adalah komitmen terbaharu kerajaan bagi memastikan pasport negara kekal sebagai antara dokumen perjalanan paling selamat di dunia serta amat sukar untuk dimanipulasi atau dipalsukan oleh sindiket jenayah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan, fasa pengenalan awal dokumen canggih ini akan dilaksanakan secara rintis di empat buah pejabat pasport terpilih sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
"Sebelum ini pun sudah baik tetapi yang baharu ini, kita tambah baik dari segi ciri keselamatannya. Sebelum ini, ada 49 ciri keselamatan tetapi untuk pasport baharu ini, ia ditingkatkan hampir sekali ganda kepada 94.
"Kita meningkatkan lagi ciri keselamatan supaya pasport ini lebih selamat dan lebih sukar untuk dipalsukan," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini hari ini.
Memperincikan mengenai pembaharuan biometrik dan fizikal buku tersebut, Zakaria mendedahkan pasport baharu itu akan mengintegrasikan elemen visual tersembunyi (hidden features), teknologi hologram moden, cetakan khas sinaran ultraungu (UV), serta penggunaan benang jahitan berteknologi keselamatan tinggi.
Bagi fasa pertama pada 1 Jun ini, dokumen itu hanya boleh didapati di:
-
Ibu Pejabat JIM (Menara Ikhlas, Putrajaya)
-
Pejabat Pasport Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jalan Duta)
-
Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju
-
Pejabat Imigresen Shah Alam, Selangor
"Yang lain akan menyusul selepas itu secara berperingkat, dan kita menjangka roll out keseluruhannya di pejabat cawangan kita pada penghujung Julai depan," jelas beliau lagi.
Sehubungan itu, Zakaria menasihati orang ramai agar bertenang dan tidak menyerbu pejabat imigresen semata-mata untuk menukar dokumen baharu tersebut sekiranya pasport sedia ada masih mempunyai tempoh sah laku yang panjang.
Beliau menegaskan bahawa pasport lama masih sah digunakan untuk sebarang urusan keluar masuk negara dengan syarat tempoh tamatnya melebihi enam bulan, sekali gus meminta kerjasama rakyat Malaysia bagi memberikan ruang kepada JIM melancarkan proses transisi ini secara lancar dan berperingkat.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 8:45 pm
Isu kad janji temu tulisan Cina tular, JKWPKL&P mohon maaf akui kesilapan tidak sengaja
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
