TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah

By
|
Kongsi
image

 

JASIN 19 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan sebanyak RM169 juta bagi penyediaan peranti pintar berbentuk tablet untuk murid sekolah rendah sebagai persediaan pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah 2027.

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, peruntukan yang diluluskan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu merupakan kesinambungan usaha memperkasa pendidikan digital dalam kalangan murid bagi menghadapi cabaran masa depan.

Menurut beliau, penggunaan tablet akan menjadi antara medium utama dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran menerusi kurikulum baharu yang bakal diperkenalkan.

“Alhamdulillah, Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan sebanyak RM169 juta untuk penyediaan tablet bagi anak-anak kita pada tahun depan dan sudah pasti selepas ini, kita akan melihat inisiatif lain yang boleh menyokong usaha bersama dalam memastikan golongan berkenaan dapat menggunakan alat digital ini untuk menyokong proses pembelajaran mereka.

“Serentak itu, kami di peringkat KPM sentiasa meraikan sokongan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi swasta dan masyarakat untuk bersama-sama dengan pihak sekolah dalam memastikan murid dapat belajar dalam keadaan lengkap dan selesa ketika Kurikulum Baharu 2027 mula dilaksanakan nanti.

“Sokongan seperti bantuan penyediaan tablet atau TV pintar itu dapat membantu kita untuk bersama-sama meningkatkan mutu pendidikan negara ini, sekali gus membolehkan murid diasuh menjadi insan terdidik daripada semua aspek kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital di Sekolah Kebangsaan Nyalas, Selandar hari ini.

Pada majlis sama, empat sekolah terpilih menerima sumbangan peranti dan televisyen pintar iaitu Sekolah Kebangsaan Nyalas, Sekolah Kebangsaan Chohong, Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal dan Sekolah Kebangsaan Sri Lanang.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata penyediaan peruntukan RM169 juta itu adalah susulan daripada inisiatif sebelum ini yang membantu meningkatkan kecekapan guru dalam penggunaan teknologi digital.

Katanya, sebanyak RM122 juta turut diperuntukkan dalam fasa pertama kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menyokong aktiviti pembelajaran murid di sekolah.

+ - reset