Berita Berita
Isu kad janji temu tulisan Cina tular, JKWPKL&P mohon maaf akui kesilapan tidak sengaja
KUALA LUMPUR 19 Mei – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) mengesahkan telah berlaku kesilapan tidak disengajakan berhubung pemberian kad pemantauan janji temu dalam tulisan Cina kepada penjaga seorang pesakit di Klinik Kesihatan Setapak, Kuala Lumpur yang tular baru-baru ini.
Siasatan dalaman yang dijalankan mendapati insiden tersebut berlaku pada Isnin lalu (18 Mei) melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir ke fasiliti kesihatan kerajaan berkenaan bagi mendapatkan rawatan kerana disyaki menghidap demam denggi.
JKWPKL&P menerusi satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa pihaknya memandang serius aduan masyarakat dan ingin menjelaskan bahawa dokumen serta rekod pemantauan pesakit yang digunakan secara rasmi di seluruh premis mereka adalah sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.
"Bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa.
"Dalam kes berkenaan telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan," kata kenyataan itu hari ini.
Walau bagaimanapun, pihak jabatan menjelaskan bahawa proses konsultasi, penerangan berkaitan pelan rawatan, serta kaedah pemantauan sepanjang tempoh kritikal itu telah disampaikan oleh pegawai perubatan bertugas kepada penjaga dalam Bahasa Melayu, termasuk segala catatan klinikal bertulis pada kad terbabit.
Susulan insiden berkenaan, JKWPKL&P telah mengarahkan langkah penambahbaikan serta-merta dilaksanakan di kaunter serahan bagi memastikan pengedaran kad sokongan tersebut diteliti dengan lebih cermat, tanpa mengetepikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai medium rasmi penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.
"Kami ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan kekal komited untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat," tambah kenyataan itu lagi.
Terdahulu, kontroversi tersebut mula mendapat perhatian meluas netizen selepas sekeping foto dan video berdurasi 1 minit 27 saat dimuat naik oleh akaun TikTok @shah.faza sebelum diulang siar di platform Threads, memaparkan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi yang dicetak dalam bahasa Mandarin sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
