Berita Berita
Sultan Selangor saran Wong Siew Ki, Ronnie Liu kunjungi Dataran Selangor seminggu sekali, 'hadam' makna sebenar Rukun Negara
SHAH ALAM 19 Mei - Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor khususnya ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO, Ronnie Liu untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Sultan Selangor bertitah, kunjungan ke plak monumen itu penting untuk mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara, yang mana segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
"Beta menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.
"Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan," titah baginda melalui kenyataan dimuat naik di Facebook Royal Selangor Office, hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkongsi mengenai keberangkatan baginda ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri plak monumen yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Baginda bertitah, plak monumen itu dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk yang disediakan untuk pengunjung dengan kos dibiayai baginda sepenuhnya.
"Dengan terbinanya plak monumen ini, beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara.
"Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di Negara ini.
"Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia," titah baginda.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
'Pastikan Pandan terus kekal milik PKR' - Anwar
May 19, 2026, 2:06 pm
Pemandu lori didakwa rotan, tampar anak tiri hingga cedera kerana mahu ke sekolah awal
May 19, 2026, 1:09 pm
