Berita Berita
Polis sahkan anggotanya dikenali ‘Mr A’ dipercayai dalang dadah di Langkawi ditukar serta-merta
ALOR SETAR 19 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’ yang dipercayai menjadi dalang rangkaian pengedaran dadah di sekitar Langkawi telah ditukarkan serta-merta atas kepentingan awam.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, pertukaran itu bukan bertujuan melindungi anggota terbabit, sebaliknya bagi memastikan siasatan dan tindakan lanjut dapat diteruskan dengan lebih telus.
Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan penagihan mahupun pengedaran dadah.
“Kita akan ambil tindakan walaupun pegawai dan anggota dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.
Menurut beliau, siasatan berkaitan kes narkotik memerlukan penelitian menyeluruh termasuk pengumpulan bukti serta keterangan saksi yang mempunyai kredibiliti sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Dalam perkembangan sama, Adzli berkata polis turut mengambil tindakan terhadap seorang individu dikenali sebagai ‘Bagok’, 47, yang dikaitkan dalam carta tular berkaitan isu berkenaan.
Katanya, lelaki berasal dari Kampung Kelibung, Langkawi itu telah ditahan sebanyak dua kali tahun ini, termasuk tangkapan terbaharu pada 16 Mei lalu.
Menurutnya, individu berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan penularan isu kegiatan dadah yang digelar ‘Pablo Escobar 2.0’ di Langkawi.
“Tangkapan pertama dilakukan pada 11 April lalu, namun tiada dadah ditemukan ketika itu dan kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya selepas ujian air kencing didapati positif.
“Terbaru tiga hari lalu, kita tangkap dia sekali lagi dan ujian saringan air kencing juga positif methamphetamine,” katanya.
Adzli turut mendedahkan seramai 54 pegawai dan anggota polis di Kedah ditahan kerana terbabit dalam penagihan dadah sejak 2023 hingga April lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 38 individu telah dituduh di mahkamah dan digantung tugas manakala tiga lagi masih dalam tindakan lanjut.
Beliau berkata, pada tahun lalu seorang anggota polis di Kedah turut dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Sebelum ini, laporan khas Harian Metro mendedahkan kemunculan semula rangkaian pengedaran dadah tersusun di Langkawi selepas kematian individu dikenali sebagai Pablo Escobar Langkawi, Mat Nahar, enam tahun lalu.
Rangkaian tersebut didakwa dikendalikan seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’ bersama beberapa individu yang sebelum ini dipercayai pernah menjadi ahli sindiket Mat Nahar.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 4:48 pm
KPM peruntuk RM169 juta sedia tablet untuk murid sekolah rendah
May 19, 2026, 3:01 pm
Kad janji temu bahasa Cina, KKM jamin ambil tindakan sewajarnya
May 19, 2026, 2:18 pm
'Pastikan Pandan terus kekal milik PKR' - Anwar
May 19, 2026, 2:06 pm
Pemandu lori didakwa rotan, tampar anak tiri hingga cedera kerana mahu ke sekolah awal
May 19, 2026, 1:09 pm
